top of page
muinsapidin

Usah Benarkan Anasir Luar Pengaruhi Politik Negara - Rahman Dahlan

IPOH: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang seakan-akan membenarkan anasir luar mempengaruhi landskap politik negara ini.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri menasihatkan rakyat agar berhati-hati dengan cubaan halus anasir luar yang cuba memporak-perandakan ekonomi dan merosakkan imej negara di mata dunia.

Katanya, tindakan sebegitu merupakan tindakan terdesak sesetengah pihak mahu mencampuri urusan negara yang akan membuatkan rakyat berasa gelisah dan gagal membuat perhitungan.

"Kalau pun ada masalah di Jabatan Kehakiman, di mahkamah atau SPRM biarlah mahkamah yang menentukan. Bila kita tuduh itu tidak bermakna orang itu salah dan kita nak orang kita membela diri dan membersihkan nama mereka kerana tuduhan itu amat berat.

"Bagi kita, jangan sekali-kali mengiakan apa sahaja yang dikatakan oleh anasir asing kerana kita tahu sejarah dalam negara ini banyak cubaan untuk menjatuhkan negara kita dan ini juga pernah diperkataan oleh Tun Dr Mahathir," katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong di MRSM Gerik, di sini pada Sabtu.

Tegasnya, rakyat harus memisahkan perasaan nostalgik mereka terhadap pemimpin yang pernah menerajui UMNO kerana mereka kini hanyalah sebahagian daripada lipatan sejarah politik Malaysia.

"Kalau kita nak maju ke depan, kita terpaksa berdepan dengan Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin, Anuar Ibrahim, Azmin Ali, Shafie Apdal, jadi itu tidak ada masalah.

"Apa yang penting, adalah kita kena tahu kita bukan menyokong pemimpin, sebaliknya kita adalah pendokong kepada perjuangan," katanya lagi.

Beliau turut melahirkan rasa sedih melihat segelintir pemimpin tempatan seakan berseronok dan bertepuk tangan apabila beberapa nama dikaitkan dengan tuduhan yang datang dari negara luar.

Ahli Parlimen Kota Belud itu berkata, mereka sepatutnya membenarkan semua nama yang terpalit dalam kontroversi itu mempertahankan diri dan bukan terus menghukum seolah-olah mereka bersalah.

"Kalau dibuktikan bersalah, kita pun akan ambil tindakan kerana kita tidak mahu rakyat merasakan kita mengiakan sesuatu yang tidak betul, tetapi jangan terjebak dengan permainan anasir luar.

"Belum pun ada perbicaraan tetapi kita lihat bila nama Perdana Menteri disebut, mereka mengiakan sahaja malah seolah-olah bersorak kegembiraan," katanya.

Dalam ucapannya sebelum itu, Abdul Rahman menegaskan beliau tidak akan memaafkan pihak yang membawa anasir luar untuk merosakkan sistem politik dalam Malaysia.

Ujarnya, beliau akan menentang habis-habisan pihak yang cuba melakukan perkara itu dan meletakkan sepenuh kesalahan kepada mereka sekiranya Umno tumbang dalam PRU akan datang.


4 views0 comments
bottom of page