top of page
muinsapidin

Saya Tidak Berkecil Hati – Wan Bro

TAPAH: `Saya tidak berasa terguris atau berkecil hati terhadap segala tohmahan dan gelaran yang dilontarkan kerana yakin bahawa tindakan saya itu adalah berdasarkan asas yang kukuh’.

Demikian tegas Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun terhadap pelbagai tohmahan terhadapnya yang menjadi trending di laman-laman sosial sejak kebelakangan ini.

Azwan berkata, laporan polis yang dibuatnya terhadap tiga bekas pegawai tertinggi kerajaan baru-baru ini bukanlah andaian dan terserah kepada pihak polis untuk mengambil tindakan selanjutnya.

“Saya tidak berasa terguris ataupun berkecil hati ke atas segala macam tohmahan dan gelaran yang dilontarkan kepada saya kerana saya yakin dan percaya bahawa tindakan saya itu adalah berdasarkan asas yang kukuh dan sebab-sebab yang kuat. Tiada istilah kecewa, tiada istilah merajuk, tiada istilah berundur,” tegasnya.

Beliau ditemui selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Tapah di Bangunan UMNO Tapah, di sini pada Jumaat malam.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Tapah, Datuk Samsudin Abu Hassan dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tapah, Safri Mohamad Salih.

Azwan berkata, Pemuda UMNO akan menggerakkan penerangan ke akar umbi bagi menjelaskan kepada jentera Pemuda seluruh negara mengenai cabaran yang ingin merosakkan demokrasi dan kedaulatan negara.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan supaya jangan ada mana-mana individu, badan-badan NGO ataupun mana-mana usaha yang bersekongkol dengan kuasa asing yang menggerakkan gerakan untuk menjatuhkan kepimpinan negara dan kerajaan malaysia yang sah.

“Dengan penerangan ini saya yakin dan percaya kesetiaan ahli UMNO akan terus diperkukuhkan dan kita akan memastikan jentera Pemuda seluruh negara ini bergerak sederap seiringan dengan YB Khairy sebagai ketua mempertahankan wadah UMNO dan Barisan Nasional dan kita juga akan memastikan UMNO dan Barisan Nasional terus diterima dan dipilih oleh rakyat pada PRU ke – 14,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, pelbagai kaedah penerangan telah digunakan, termasuk melalui media sosial dan kepimpinan Pemuda UMNO di peringkat negeri serta bahagian.


26 views0 comments
bottom of page