top of page
muinsapidin

RM 644.4 juta Naik Taraf Jalan Persekutuan Di Perak

SERI MANJUNG: Kerajaan sedang melakukan kerja-kerja menaik taraf dan penyelengaraan jalan Persekutuan bermula dari Teluk Intan menghala ke Lekir dekat sini yang membabitkan peruntukan sebanyak RM644.4 juta.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerja-kerja menaik taraf jalan Persekutuan di bawah Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun.

Menurut beliau, setakat ini, kerja-kerja menaik taraf jalan tersebut yang bermula September tahun lalu hingga September 2019, telah berjaya disiapkan sebanyak 10 peratus.

``Kerja-kerja menaik taraf jalan Persekutuan sejauh 31.5 kilometer itu membabitkan tiga buah daerah iaitu Hilir Perak, Perak Tengah dan Seri Manjung.

``Jalan raya tersebut dinaik taraf daripada dua lorong kepada empat lorong untuk kedua-dua hala bagi memudahkan pengguna yang menggunakan laluan tersebut,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Jelajah dan Karnival FT Roadpedia Kementerian Kerja Raya di Dewan Komuniti Bestari, Batu 10, Lekir pada Sabtu.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin , Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Menurut Fadillah, selain kerja-kerja penyelengaraan jalan Persekutuan, kerajaan turut menaik taraf lima buah jambatan dan enam buah jejantas sepanjang laluan tersebut.

Katanya, dalam projek itu, lima buah jambatan yang terlibat untuk dinaik taraf iaitu Jambatan Sultan Yusuf, Sungai Dedap, Sungai Ranggam, Sungai Kayan dan Sungai Parit Hindu yang menelan belanja hampir RM100,000.

``Kerajaan turut menjangkakan kerja-kerja menaik taraf keseluruhan projek ini siap sepenuhnya mengikut jadual yang telah ditetapkan,’’ ujarnya.


7 views0 comments
bottom of page