top of page
muinsapidin

PORT Tawar Medan Selera Berkonsepkan Food Truck

IPOH: Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) menawarkan medan selera berkonsepkan taman dengan jualan makanan dari trak (Food Truck Garden) dalam usahanya membantu usahawan berkenaan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang juga Ahli Lembaga Pengarah PORT berkata, konsep `Food Truck Garden’ ini adalah unik kerana lain daripada konsep perniagaan makanan sedia ada.

“PORT mengambil inisiatif untuk membantu usahawan trak makanan yang rata-ratanya anak muda tempatan dengan menyediakan kemudahan lokasi, sekaligus memberi peluang orang ramai merasai produk makanan tersebut di bawah satu bumbung,’’ katanya semasa berucap di PORT Garden Festive Celebration 2016 di sini pada Jumaat malam.

Antara trak makanan yang terlibat pada majlis itu ialah Freddo, Ali Yeh Yeh, The Hut, Chef Uni Ayam Garam, Puffer On The Move dan Old School Coffee.

Turut hadir dan menyerikan majlis itu Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zambri Man dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) Datuk Aminudin Hashim.

Menurut Zainol, majlis tersebut turut memperkenalkan pasar taman (Garden Market) yang secara rasminya bermula pada malam ini (Jumaat) sehingga Ahad setiap hujung minggu.

Katanya, Garden Market ini yang berkonsepkan bazar malam mengumpulkan pelbagai jenama pakaian dan barangan hasil dari anak muda tempatan, antaranya Big Bro, Wanrepublik, Puak Ipoh dan Kolek.

Majlis diakhiri dengan pemberian plak apresiasi kepada komuniti dan rakan strategik PORT yang disampaikan Dr Zambry dan pemberian sumbangan kepada anak yatim dari Pertubuhan Baitul Muroqah.

Para tetamu yang hadir di majlis itu telah dihiburkan oleh barisan kumpulan Buskers tempatan.


61 views0 comments
bottom of page