top of page

Niat Murni Bertukar Tragedi

muinsapidin

TAIPING: Siapa sangka tindakan murni seorang lelaki membantu mangsa kemalangan membawa padah kepada dirinya apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 10.5,Jalan Taiping- Pantai Remis di sini pada awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian sekitar 1.35 pagi itu, mangsa,Muhd Azizi Osman,19, dipercayai sedang cuba membantu mengutip ikan-ikan yang bertaburan di atas jalan akibat kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata

sekitar 12.50 pagi sebuah lori yang membawa muatan ikan telah hilang kawalan dan terbabas di lokasi kejadian.

Katanya, sebaik sahaja lori berkenaan terbabas, tiga buah motosikal dipercayai orang kampung telah membantu pemandu lori untuk mengutip ikan-ikan di atas jalan raya.

"Selepas beberapa ketika, sebuah kenderaan dipandu oleh seorang pegawai TLDM berpangkat Leftenan yang menghala ke Taiping tidak menyedari kemalangan di situ.

"Lalu, kenderaan jenis Volkswagen itu merempuh kesemua motosikal yang berada di bahu kiri jalan.

"Akibat impak rempuhan itu, mangsa yang ketika itu membonceng motosikal rakannya maut di tempat kejadian berikutan cedera parah di bahagian kepala,"katanya kepada ASTRO AWANI pada Sabtu.

Jelasnya, kenderaan tersebut turut mengakibatkan kecederaan ringan kepada dua anggota polis yang datang dan memberi bantuan untuk mengawal lalulintas kemalangan lori terbabas itu.

Harrith Kam berkata kedua-dua anggota polis Balai Polis Padang Gajah itu mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke hospital Taiping manakala mangsa yang meninggal dunia ditempat kejadian telah dibawa ke Jabatan Forensik bagi bedah siasat.

"Siasatan awal mendapati keadaan jalan selekoh dan gelap dan anggota yang mengawal lalulintas menyalakan lampu "beacon" semasa kejadian dan memakai vest.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dibawah Sek 41(1) APJ 1987 dan pegawai TLDM berpangkat Leftenan itu telah ditahan bagi membantu siasatan.


6 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page