BAGAN DATOH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua parti politik, termasuk pembangkang, menolak perbezaan pendapat dan bekerjasama mengekang ancaman militan Daesh daripada menular ke negara ini.
Katanya, ancaman Daesh merupakan perkara serius dan boleh berlaku pada bila-bila masa, justeru memerlukan semua parti mengunakan pentas masing-masing melawan idealogi tersebut, khususnya menerusi media sosial.
"Soalnya bukan 'jika' tapi 'bila ia akan berlaku', jangan fikir ini isu politik, jangan ingat kami (pihak berkuasa) cuma berikan ugutan.
"Kami berikan maklumat supaya kita siap siaga dan boleh ambil tindakan, tidak mahu serangan seperti di sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor pada 28 Julai lalu (berulang)," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datoh di Wisma UMNO, Hutan Melintang pada Sabtu.
Menurut beliau, bagi memastikan ancaman militan tidak masuk ke negara ini, pihaknya menempatkan pelbagai aset dan kekuatan di beberapa kawasan berisiko yang telah dikenal pasti.
Tambahnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga menggunakan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi bagi memantau ancaman militan itu di media sosial.
Dalam sidang media itu, Ahmad Zahid turut menyelar tindakan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang mahu melancarkan kempen mengumpul 10,000 tandatangan bagi menghalang Pusat Tahanan Kamunting di Taiping untuk dijadikan pusat tahanan Daesh.
"Jabatan Penjara telah melakukan pengubahsuaian pusat tahanan itu untuk membolehkan proses deradikalisasi (pemulihan) ke atas mereka dijalankan supaya bila keluar mereka boleh diterima oleh rakyat dan masyarakat.
"Kita tidak mempunyai waktu dan kos untuk membina penjara baharu, jadi kita gunakan Kem Kamunting. Masalah keselamatan negara tidak ada kompromi, walaupun berbeza ia harus diterima dengan baik," tegasnya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa penduduk di Taiping dan kawasan sekitar supaya tidak bimbang dengan keselamatan mereka dengan keputusan kerajaan itu.