IPOH: Seorang anggota polis cedera setelah diserang sekumpulan lelaki di tapak pembinaan perumahan Taman Sri Wangi, Lahat di sini pada petang Khamis.
Dalam kejadian sekitar 5.50 petang itu, anggota polis berkenaan sedang dalam perjalanan ke Balai Polis Lahat sebelum terserempak dengan beberapa lelaki yang memakai topeng dan topi keledar sedang memasuki kawasan tapak pembinaan.
Gambar Hiasan
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, anggota polis berkenaan kemudiannya mengekori kesemua lelaki berkenaan dan mendapati mereka ingin mencuri mozek di kawasan pembinaan tersebut.
"Anggota polis itu kemudiannya turun dari kenderaan dan sebaik sahaja menyedari kehadiran polis kesemua mereka cuba melarikan diri.
"Mangsa kemudian berjaya menahan seorang suspek dan berlaku pergelutan di lokasi kejadian.
"Kesemua suspek lain kemudian telah datang dan cuba menolong rakan mereka dengan memukul kepala anggota polis dengan kayu menyebabkannya pengsan," katanya kepada Suara Perak.
Menurutnya, setelah sedar anggota polis berkenaan menyedari pistolnya telah hilang lalu terserempak dengan seorang rakan sejawat yang membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
"Hasil siasatan di lokasi kejadian kami menjumpai satu pistol jenis Smith & Wesson beserta lima butir peluru dan dua batang kayu yang dipercayai digunakan suspek untuk memukul anggota polis berkenaan.
"Keterangan saksi kejadian juga telah dirakam bagi membantu siasatan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Sum berkata, pihaknya masih cuba mengesan lapan orang suspek yang menaiki empat buah motosikal yang terlibat dalam kes curi dan menyerang penjawat awam itu.