BAGAN DATOH: Ahli umno diingatkan tidak terdorong dengan emosi serta perasaan terburu-buru berhubung kes saman sivil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) terhadap 1MDB.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perasaan tersebut akan membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk menangguk di air yang keruh sehingga menyebabkan perpecahan di kalangan ahli UMNO sendiri.
“Perasaan terburu-buru dan amarah akan menyebabkan kita hilang rasional hilang pertimbangan, hilang fokus dan gagal melihat gambaran penuh tentang sesuatu perkara.
“Apabila kita beremosi dan terburu, ada pihak akan tambil mahu menangguk di air keruh mahu memasuk jarum hasutan menyebarkan kebencian,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Bagan Datoh pada Sabtu.
Hishammuddin berkata, kes tersebut merupakan sesuatu yang kompleks serta memakan masa, justeru ruang dan masa perlu diberikan sewajarnya untuk kebenaran dapat dibongkar secara adil.
Tambah beliau, pendirian UMNO tetap selari dengan kerajaan bahawa sesiapa yang dinamakan dalam prosiding kes saman itu harus tampil dan membela diri serta bertanggungjawab sepenuhnya ke atas perkara tersebut.
“Kita harus memberi ruang dan masa sewajarnya untuk kebenaran dibongkar dan kita nak cari kebenaran ini secara adil, secara betul, secara akauanbitliti dan secara telus.
“Tetapi bukan mengesa keputusan dan pengumuman berdasarkan keraguan dan rasa syak semata,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hishammudin juga menggesa krisis politik Terengganu diselesaikan segara oleh semua ahli UMNO di peringkat tertinggi hingga ke akar umbi negeri itu bagi mengelakkan rakyat terbeban dengan kemelut berkenaan.
Menurut beliau, krisis itu hanya boleh diselesaikan dengan kemahuan politik serta kesepakatan di antara ahli-ahli UMNO di negeri itu.