top of page
muinsapidin

60 Penuntut UTP Gotong Royong Di Rumah NASOM Ipoh

IPOH: Seramai 60 penuntut pelbagai fakulti dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) mengertai gotong royong di rumah Persatuan Kebangsaan Autisma Malaysia (NASOM) Ipoh di sini pada Sabtu.

Mereka memulakan program seawal jam 8 pagi dengan pebagai aktiviti seperti mengecat dan membersihkan kawasan luar serta dalam rumah tersebut.

Pensyarah Komunikasi Korporat UTP, Haryanni Harun berkata, program itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya untuk membantu golongan yang memerlukan.

"Ia juga selaras dengan nilai-nilai yang dianjurkan oleh Petronas di mana kita memberi balik kepada komuniti apa yang kita perolehi daripada mereka," katanya kepada Suara Perak.

Haryanni berkata, program itu juga bertujuan mendedahkan penuntut terlibat, termasuk dari Yemen, Zimbabwe, Thurkhanistan dan Indonesia dengan aktiviti CSR, supaya mereka boleh meneruskannya selepas menamatkan pengajian di UTP.

"Kami selalu membuat program seperti ini , boleh dikatakan setiap semester, tetapi kali ini berbeza kerana lazimnya kami membuatnya di rumah anak yatim atau di rumah orang tua-tua," tambahnya.

Sementara itu, Presiden NASOM Malaysia, Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharudin berkata, pihaknya mengalu-alukan sokongan dan bantuan semua pihak untuk melancarkan aktiviti NASOM kerana ia memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

Beliau memberi contoh, rumah NASOM Ipoh sahaja, yang mempunyai 21 pelajar dengan tujuh kakitangan, memerlukan perbelanjaan kira-kira RM30,000 sebulan sedangkan yuran bulanan yang dikenakan hanya sekitar RM500 seorang.

"Kos kita memang tinggi, jika seorang guru sekolah biasa boleh mengajar sehingga 40 murid tetapi di NASOM, seorang guru hanya boleh menjaga tiga pelajar sahaja, jadi kita memang amat mengharapkan sumbangan dari pihak-pihak lain," jelasnya.

Dalam program itu, selain menyertai gotong royong, penuntut yang mengambil bahagian turut mendengar pengalaman keluarga yang mempunyai anak autisma.


62 views0 comments
bottom of page