IPOH: Seramai 640 penumpang secara 'couple set' yang menyertai program 'Treasure Hunt Tone Race to Fiesta Alor Setar' yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini (Jumaat) telah dibawa dengan menggunakan 12 gerabak Tren Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Ahli Lembaga Pengarah KTMB, Datuk Ahmad Zainuddin Jamaluddin berkata, perkhidmatan yang memulakan perjalanan dari Stesen Sentral Kuala Lumpur dengan menggunakan gerabak sepanjang 1,000 meter itu bakal dicatatkan rekod dalam 'Malaysia Book of Records' sebaik sahaja tiba di Stesen Keretapi Alor Setar, esok pada pukul 8 malam.
Menurut beliau, jika perkhidmatan tren ETS sedia ada hanya membawa enam gerabak sahaja membabitkan 312 penumpang, namun kali ini mereka mampu membawa sehingga lebih 600 penumpang.
"Program ini merupakan satu daripada usaha promosi yang baik kerana kebanyakan masyarakat hari ini sudah mula menggunakan perkhidmatan tren ETS khususnya di wilayah Utara," katanya dalam sidang media sempena program berkenaan di sini pada Jumaat.
Jelasnya, bilangan penumpang di wilayah utara adalah antara yang tertinggi berbanding wilayah lain iaitu seramai 10,000 orang pada hari bekerja manakala 13,000 orang menggunakan perkhidmatan itu pada hujung minggu.
​ Tambahnya, ia menunjukkan KTMB melangkah maju ke hadapan dengan membawa dua set tren ETS dalam satu perjalanan, bertepatan dengan inisiatif pengurusan KTMB dalam usaha merakyatkan keretapi.
Sementara itu, Pengerusi Tone Group, Datuk Syed Kamaruzaman Syed Abdullah berkata, program yang julung kali diadakan itu dianjurkan oleh syarikat telekomunikasi, Tone Group dengan kerjasama KTMB menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM200,000 kepada pemenang.
"Jumlah keseluruhan peserta adalah seramai 1,284 orang termasuk dari Sabah dan Sarawak yang merupakan pengguna Tone Excel.
"Selain menggunakan perkhidmatan ETS, sebilangan peserta menaiki kenderaan masing-masing untuk menyertai program ini," katanya.