top of page
muinsapidin

Ketum: ‘Jangan Ikut Selera Sendiri’

SEREMBAN - Cadangan Risda untuk menjadikan daun ketum sebagai tanaman komersil untuk dieksport ke luar negara susulan permintaan tinggi bagi membantu meningkatkan ekonomi pekebun kecil dibantah.

Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Abu Ubaidah Redza berkata, cadangan itu tidak bersesuaian dilaksanakan memandangkan kemudaratannya lebih besar berbanding kebaikan.

“Jangan (hanya) ikut selera sendiri. Tapi ikutlah lunas undang-undang. Memang betul, ketum juga ada manfaat. Tapi antinya (keburukan) lagi banyak.

"Sebab itu undang-undang tidak menghalalkan (penjualannya)," katanya selepas pelancaran Kempen Kebersihan Awam dan Kesedaran Sivik Dun Sikamat dan Dun Temiang di Dewan Orang Ramai Taman Perwira, di sini, semalam.

Risda sebelum ini dilaporkan bercadang ingin mendapatkan kebenaran kerajaan untuk melaksanakan projek penanaman pokok ketum secara berskala besar bagi memenuhi industri farmaseutikal dari negara luar, yang mana usaha itu juga boleh mendatangkan keuntungan tinggi kepada pekebun kecil.

Banyak pihak termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut membantah cadangan itu kerana boleh membantutkan usaha untuk memastikan negara ini bebas dadah menjelang tahun 2020.

Abu Ubaidah berkata, walaupun tanaman itu untuk tujuan eksport dan boleh menjana pendapatan pekebun kecil, penyalahgunaan daun ketum telah menimbulkan pelbagai masalah yang membawa kesan memudaratkan kepada rakyat.

"Semua pihak perlu mengikut undang-undang yang telah ditetapkan kerana undang-undang ini diwujudkan sebenarnya untuk menyenangkan rakyat. Dibuat oleh individu tertentu yang pakar misalnya dalam aspek kesihatan dan sebagainya. Jadi kita patuhlah pada undang-undang,” katanya.


12 views0 comments
bottom of page