GERIK: Seorang jururawat lelaki maut setelah tercampak keluar daripada kenderaan jenis Perodua Viva yang dipandunya apabila terlibat dalam sebuah kemalangan di hadapan SK Kenering, di sini pada pagi Jumaat.
Dalam kejadian sekitar 10.35 pagi itu, mangsa, Muhamad Firdaus Kaus, 28, seorang jururawat sepenuh masa, maut di tempat kejadian setelah tercampak keluar daripada kenderaannya berikutan impak perlanggaran dengan sebuah lori satu tan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Penolong Penguasa Bomba Azizul Aswad Azaris berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar 10.41 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.
"Setibanya di lokasi kejadian kami mendapati terdapat sebuah lori satu tan dari arah Gerik telah bertembung dengan kenderaan mangsa di mana impak rempuhannya telah menyebabkan mangsa tercampak keluar.
"Akibat hentakan kuat itu pegawai perubatan mengesahkan mangsa mati di tempat kejadian, manakala pemandu lori yang berusia 34 tahun mengalami kecederaan parah dan tersepit," katanya kepada Suara Perak pada Jumaat.
Jelas beliau, pihaknya menggunakan peralatan penyelamat rescue tool untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Azizul berkata, mangsa telah diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut manakala pemandu lori itu telah dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.
"Kemalangan itu menyebabkan serpihan enjin dan badan kereta bertaburan di sepanjang jalan dan anggota kami juga bertindak membersihkannya.
"Operasi tamat sepenuhnya pada 10.55 pagi," katanya lagi.