top of page
muinsapidin

UMNO Jangan Dibuai Kemenangan - TPM

KUALA KANGSAR: Ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak dibuai dengan kemenangan besar yang dicapai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya mahu mereka serius memberi sepenuh komitmen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

"Saya minta ahli UMNO dan BN di semua peringkat akar umbi agar merapatkan saf barisan dan mantapkan ketahanan parti dalam memastikan BN terus mencapai kemenangan dalam PRU ke-14 nanti," katanya.

Ahmad Zahid memberi peringatan itu semasa berucap di Majlis Kesyukuran dan Jamuan Aidilfitri UMNO/BN peringkat negeri Perak di Dewan Jubli Perak di sini pada Rabu malam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan barisan kepimpinan komponen BN negeri Perak.

Ahmad Zahid turut menyentuh mengenai pentingnya ahli parti memperkukuhkan perpaduan sesama mereka agar BN terus kukuh.

"Jika kekuatan BN dapat terus dipertahankan dan tidak goyah, maka sudah pasti segala bentuk halangan dan cabaran akan dapat diatasi," ujarnya.

Dalam hubungan ini, Timbalan Perdana Menteri berkata, jika semua pihak bersatu, UMNO / BN mampu menghadapi sesiapa sahaja, termasuk parti baharu yang dicadangkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan Pendaftar Pertubuhan tidak menghadapi masalah untuk meluluskan parti baharu yang dicadangkan itu jika semua syarat dipenuhi.


15 views0 comments
bottom of page