IPOH: Tindakan Pakatan Harapan Perak menarik diri daripada jawatankuasa bypartisan pada Rabu merupakan satu kerugian besar kepada usahasama erat yang terjalin antara kerajaan dan pembangkang di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, tindakan mereka merupakan satu tindakan yang tidak rasional memandangkan sudah terdapat kerjasama sistematik antara kedua-dua pihak.
Sehubungan itu, beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ADUN Taiping, Nga Kor Ming bahawa kerajaan tidak membenarkan ahli jawatankuasa dari pihak pembangkang untuk mengutarakan pendapat atau cadangan dalam sepuluh jawatankuasa by partisan tersebut sepanjang tiga tahun lepas.
" Tindakan mereka ini sebenarnya merupakan salah satu taktik lama pembangkang yang sering menggunakan kaedah menyalahkan orang lain untuk maju ke hadapan, ini sudah menjadi tabiat mereka.
"Sepanjang penubuhan jawatankuasa by partisan dalam tempoh tiga tahun lepas, pelbagai cadangan dan pendapat daripada pihak pembangkang telah diambil kira dan setiap perjumpaan serta mesyuarat mereka turut aktif memberikan pandangan untuk penambahbaikan bagi rakyat di negeri Perak," katanya kepada pemberita dalam sidang media tergempar di Bilik Mesyuarat 1B, Bangunan SUK pada petang Rabu.
Jelasnya, tindakan Pengerusi DAP Perak tersebut menunjukkan bahawa beliau telah bertindak secara terburu-buru tanpa memikirkan pendirian Ahli Dewan Undangan Negeri dari pembangkang yang terlibat dalam beberapa jawatankuasa.
Menurutnya, terdapat beberapa jawatankuasa yang dipengerusikannya sendiri seperti Jawatankuasa MMK Pengangkutan Awam, Jawatankuasa Pengurusan Pasir dan Jawatankuasa Pengurusan Pyrolisis dan Tayar, mendapat maklum balas dan kerjasama positif daripada ADUN pembangkang.
"Saya sebenarnya berasa amat kecewa dan bersimpati kepada nasib mereka yang terpaksa menuruti arahan daripada Nga Kor Ming, seorang yang bertindak secara kuku besi, authoritarian dan tidak mempertimbangkan kesan jangka panjang terhadap tindakannya.
"Sedangkan, mereka (ahli pembangkang) yang berada di dalam beberapa jawatankuasa by partisan sebenarnya bergiat amat aktif, malah sering mengadakan mesyuarat serta mengumpul maklumat bersama ADUN kerajaan untuk mengenalpasti masalah dan penyelesaian pelbagai isu secara bersama-sama.
"Pada pendapat saya, mungkin dia (Nga Kor Ming) berasa terancam dengan kerjasama yang cukup baik, serta pencapaian yang telah dikecapi hasil idea kerajaan Perak dan mengganggap bahawa ini adalah jalan terbaik agar kedudukan politik mereka dalam PRU akan datang lebih terjamin," ujarnya.
Dr Mah berkata, walaupun terdapat beberapa halangan dalam menguruskan seperti jawatankuasa pengangkutan yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), namun jawatankuasa by partisan itu berjaya menjadi penasihat serta pencadang yang amat berkesan.
"Kita bekerjasama tanpa sempadan politik, namun inilah yang berlaku apabila mereka berasa tertekan secara tidak logik akal, tapi apa yang boleh saya jamin adalah kita akan meneruskan semua projek, cadangan dan rancangan yang telah dilakukan oleh jawatankuasa by partisan sebelum ini," katanya lagi.