IPOH: Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Perak dan Vivocom Enterprise Sdn. Bhd. akan bekerjasama untuk membina kira-kira 4,000 unit rumah mampu milik di Bandar Tasik Amanjaya.
Majlis menandatangani perjanjian kontrak bagi projek itu diadakan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis yang turut disaksikan, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.
Pada majlis itu, Ketua Kumpulan Strategi Kewangan Korporat MB Inc menandatangani perjanjian bagi pihak MB Inc manakala Vivocom diwakili Pengarah Eksekutifnya, Choo Seng Choon.
Ketua Eksekutif MB Inc, Datuk Aminuddin Hashim menjadi saksi bagi pihak MB Inc makanala saksi Vivocom ialah Francis Wong.
Zahir berkata, projek tersebut bukan sahaja membantu merancakkan pembangunan di negeri ini, tetapi sekaligus memenuhi komitmen kerajaan negeri untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat.
“Ia juga membuktikan bahawa pembangunan di Perak tidak hanya tertumpu di sekitar Lembah Kinta tetapi juga tersebar keseluruh negeri,” katanya selepas majlis tersebut.
Sementara itu, Aminuddin memberitahu, projek itu mengandungi 16 blok bangunan 21 tingkat yang akan dibina di dalam empat fasa yang dijangka dimulakan hujung tahun ini.
Menurut beliau, di bawah projek berkenaan, mereka akan membina rumah yang berkeluasan 900 kali persegi dengan kemudahan tiga bilik, dua bilik mandi, dapur dan ruang makan dengan harga antara RM180,000 dan RM220,000.
“Projek ini adalah sebagai pembangunan menyeluruh Taman Tasik Amanjaya yang mengandung 1,469 ekar dan kami juga akan membangunan beberapa kawasan lain di sini secara serentak,” ujarnya.