top of page
muinsapidin

Anggota Polis Dituduh Terima Rasuah RM1,200

IPOH: Seorang koperal polis berusia 35 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan menerima rasuah sebanyak RM1,200 kira-kira dua tahun lalu.

Mohamad Sukeri Othman, 35, yang bertugas di Pejabat Peronda Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Zon Utara membuat pengakuan itu di hadapan Hakim S Indra Nehru pada Khamis.

Dia dituduh menerima rasuah sebanyak RM1,200 daripada V Tamil Vanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan kerana disyaki membawa arak tidak dibayar cukai menggunakan kenderaan pelbagai guna Toyota Avanza di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, Lebuhraya PLUS arah selatan, jam 1.50 tengah hari, 7 November 2014.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahidah Jalaluddin, manakala tertuduh diwakili peguam, P Ravee.

Hakim Indra Nehru memerintahkan tertuduh dijamin RM4,500 dan menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan semula kes.


10 views0 comments
bottom of page