IPOH: Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang membuat dakwaan kononnya berlaku pemindahan pengundi secara besar-besaran di Perak disaran merujuk bantahan mereka kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bukan menyalahkan Barisan Nasional (BN).
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ahli Parlimen DAP Taiping itu tidak sepatutnya menuding jari menuduh BN terbabit dengan mendakwa pemindahan pengundi itu adalah strategi untuk memenangkan BN.
Sambil menyifatkan tindakan Nga itu sebagai biadap dan celupar Dr Zambry berkata, ia sekali lagi membuktikan sikap dan perangai Kor Ming yang benci sangat kepada BN.
“Kalau dia nak komplain dia patut rujuk masalah dia kepada SPR..kenapa pula menuduh kepada BN.
“Kenyataan yang biadap dan celupar ini menunjukkan sekali lagi membuktikan sikap dia, perangai dia yang selama ini tidak boleh keluar daripada kepompong kehidupannya yang dilindungi oleh kebancain yang teramat sangat kepada BN,’’katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Dr Zambry turut menjelaskan bahawa BN turut terkejut apabila SPR mengazetkan kawasan-kawasan yang dulunya dianggap kawasan selamat buat BN menjadi kawasan berisiko.
Katanya, BN bagaimanapun tetapi tidak pula membuat `bising’ tetapi telah merujuk perkara itu kepada SPR.
“Itulah kerja dia (Nga), dia tak ada kerja lain…dia akan menuduh itulah kerja BN dia hanya kata BN lah yang bertanggungjawab.
Kita pun tidak puas hati dengan beberapa perkara tetapi kita pula dipersalahkan,’’kata Dr Zambry.
Nga dalam sidang akhbarnya mendakwa seramai 118,774 pengundi di Perak telah berpindah parlimen dengan 40,000 pengundi kini didaftarkan di parlimen lain.
Beliau mendakwa angka perpindahan pengundi yang direkodkan SPR itu merupakan yang tertinggi di negara ini.