IPOH: Polis Perak hari ini menandatangani sebuah deklarasi tanggungjawab untuk membanteras judi haram secara habis-habisan dan mencapai matlamat sifar judi haram di seluruh negeri.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, deklarasi itu merupakan satu amanah gabungan daripada ketua-ketua polis di semua 15 daerah untuk memastikan tiada sebarang kegiatan perjudian haram berlaku di dalam negeri ini.
Menurut beliau, deklarasi itu adalah satu komitmen daripada Polis Diraja Malaysia Negeri Perak yang akan sentiasa memantau dan memastikan operasi perjudian yang merupakan gejala sosial itu ditangani dengan sistematik dan bersepadu.
"Sebagai ketua polis negeri, saya juga mengesahkan bahawa tiada sebarang aktiviti perjudian haram atas talian atau judi online yang berlaku di dalam negeri Perak dan deklarasi ini merupakan amanah daripada kami.
"Sekiranya terdapat sebarang aduan daripada awam dan maklumat mengenai judi online di dalam daerah masing-masing, maka tindakan lanjut akan dilakukan ke atas ketua polis daerah yang terbabit kerana mereka tahu apa yang berlaku di dalam kawasan mereka," katanya dalam sidang media sempena Sambutan Hari Persatuan Keluarga Polis ( PERKEP) di Mesy Pegawai Kanan Polis Perak, di sini pada Rabu.
Tambah beliau, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan semua agensi dan orang awam untuk memastikan tidak ada isu atau sindiket-sindiket perjudian haram atau online yang berlaku sehingga hari ini.
Jelasnya, pengecualian tersebut akan diberikan kepada 133 Pusat Hiburan Keluarga (PSK) yang telah mendapat lesen perniagaan daripada majlis perbandaran atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk beroperasi secara sah.
Bagaimanapun, Rahim menegaskan bahawa pihaknya masih akan melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan dari masa ke masa untuk memastikan tiada sebarang operasi di kesemua PSK yang melanggar syarat-syarat lesen yang telah dikeluarkan.
"Jika kami dapati bahawa terdapat sebarang perlanggaran syarat dan mana-mana PSK yang tidak mematuhi terma lesen tersebut, maka kami akan cadangkan dan menghantar laporan kepada PBT untuk menghentikan operasi dan perniagaan di PSK berkenaan," katanya lagi.
Rahim menyeru orang ramai membantu pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian atas talian di mana-mana daerah atau bilik gerakan kontinjen daerah yang beroperasi 24 jam sehari.
"Memang ada sistem pesanan ringkas atau sms atau individu yang menghantar pelawaan di aplikasi Wechat dan sebagainya untuk pautan ke judi online, namun itu bergantung kepada individu masing-masing untuk nak terlibat atau tidak kerana di luar bidang kuasa kami.
"Selebihnya, tiada sebarang premis judi online yang ada di negeri Perak sehingga hari ini," katanya.