top of page
muinsapidin

Padang Seperti Tapak Buangan Sampah

IPOH - Ibarat tapak pembuangan sampah. Itu gambaran diberikan penduduk tentang keadaan Padang Taman Cempaka, di sini, yang dipenuhi sampah-sarap.

Adun Canning, Wong Kah Woh berkata, melalui aduan yang diterima daripada penduduk sekitar, padang itu tidak diselenggarakan dengan baik sejak dua bulan lalu.

Sampah-sarap yang dibuang di kawasan padang berkenaan

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kawasan padang itu dipenuhi sampah-sarap seperti plastik, tin minuman dan sebagainya yang dapat dilihat dengan jelas, seolah-olah tapak pembuangan sampah.

“Melalui tinjauan yang dibuat juga kami dapati ada tilam dan kusyen yang turut diletakkan di padang berkenaan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya semasa melakukan tinjauan di pekarangan padang itu, di sini, semalam.

Menurutnya, kemudahan asas seperti tong sampah tidak disediakan di padang berkenaan dan ia memungkinkan keadaan sedemikian terjadi.

“Perlu disediakan tong sampah kerana itu merupakan kemudahan asas yang perlu ada di sesuatu kawasan terutama padang permainan dan di kawasan tumpuan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, keadaan padang yang tidak diselenggarakan itu bukan hanya menyakitkan pandangan malah dikhuatiri akan menyebabkan berlaku penularan penyakit berjangkit.

“Paling penting, pembersihan padang itu perlu dilakukan kerana ia memungkinkan pelbagai kesan negatif berlaku terutamanya dari sudut penularan wabak penyakit,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap perkara itu dipandang serius dan ditangani oleh MBI dalam kadar segera.

“Kita harap kerja-kerja ini dilakukan segera dan segala masalah yang berlaku juga kita harapkan tidak akan berulang kembali selepas pembersihan dibuat,” katanya.


29 views0 comments
bottom of page