top of page
muinsapidin

Lebih 7,000 Sertai Ipoh International Run 2016

IPOH: Seramai 7,180 peserta telah mendaftar untuk menyertai Ipoh International Run (IIR) 2016 yang dijadualkan pada 7 Ogos ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, walaupun tahun lalu kira-kira 10,000 orang peserta mengambil bahagian tetapi bagi tahun ini, beliau telah menetapkan sasaran antara 5,000 hingga 7,000 peserta.

Beliau memberitahu, daripada lebih 7,000 peserta tahun ini, ada di antara mereka yang datang dari luar negara seperti Jerman, India, Indonesia, Filipina, Vietnam, Thailand, Singapura, Ghana dan Kenya.

Beliau melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada para penyumbang yang telah banyak membantu menjayakan acara tahunan itu.

“Peranan yang dimainkan ini sangat mustahak kerana tanpa sokongan tuan-tuan dan puan-puan maka urusetia Ipoh International Run 2016khususnya tajaan tidak dapat berfungsi dengan baik dan berkesan,” katanya ketika berucap sempena Sidang Media Majlis Pelancaran & Tajaan Ipoh International Run 2016 Edisi ke-21 di sini pada Rabu.

Zamri memberitahu, pada tahun ini, MBI menyediakan hadiah bagi kesemua kategori yang keseluruhannya berjumlah RM100,000.

Beliau juga percaya laluan IIR 2016 akan menarik peserta-peserta dari dalam dan luar negara untuk melawat Perak, terutamanya Bandaraya Ipoh dalam tahun 2017.

Beliau memberi contoh, laluan larian bagi 21km akan menempuh Heritage Trail atau Jejak Warisan Kota Lama seperti Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab yang mempunyai bangunan menarik seperti Kelab Diraja Ipoh, Dewan Bandaran, Mahkamah Tinggi dan Stesen Keretapi Ipoh.

Di samping itu, kata beliau, pelari-pelari juga akan ke Little India di Jalan Lahat dan terus ke Jalan Sultan Yussuf di mana terdapatnya bangunan lama seperti Hongkong & Shanghai Bank, Bangunan Chung Thye Pin dan terus ke Jalan Sultan Idris Shah di mana terletaknya pasar karat yang amat popular iaitu Memory Lane.

Sehubungan itu, beliau berharap para penaja dapat terus bersama IIR 2017 nanti dengan tawaran-tawaran hadiah yang lebih menarik agar lebih ramai peserta luar negara dapat menyertai acara itu.

“Bandaraya Ipoh telah diberikan pengiktirafan sebagai pilihan keenam destinasi paling menarik di Asia untuk dikunjungi oleh Lonely Planet, sebuah portal pengembaraan terbesar di dunia dan sSemoga acara ini akan terus membantu Bandaraya Ipoh agar lebih dikenali bukan sahaja di rantau Asia malahan dunia,” ujarnya.


12 views0 comments
bottom of page