top of page
muinsapidin

Beratur Seawal 3 Pagi Rebut Nombor Giliran Perbaharui Pasport

PETALING JAYA: Masalah kekurangan bekalan pasport berlarutan, apabila orang ramai terus membanjiri Jabatan Imigresen untuk memperbaharui dokumen perjalanan masing-masing sejak lebih seminggu lalu.

China Press melaporkan Bahagian Pasport di Jabatan Imigresen Jalan Duta sesak semalam, apabila lebih 500 orang hadir untuk merebut 300 nombor giliran yang diedarkan setiap hari.

Ada di kalangan mereka mendakwa tiba seawal jam 3 pagi dan sekadar mendapat nombor giliran ke-50 lebih.

Keadaan sama juga berlaku di Jabatan Imigresen UTC Pudu yang dibanjiri orang ramai kerana peruntukan 100 nombor giliran habis diedarkan dalam tempoh sejam selepas ia memulakan operasi.

Selain Kuala Lumpur, negeri lain seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sarawak turut berdepan masalah sama, di mana kuota nombor giliran habis diedarkan dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Di Sarawak, kaunter memohon dan memperbaharui pasport di Jabatan Imigresen Kuching hanya beroperasi dari jam 8 pagi hingga 10 pagi semalam dan alasan yang diberikan ialah petugas di kaunter menyertai kursus, manakala kaunter di Jabatan Imigresen Miri pula ditutup kira-kira jam 11 pagi.

Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak, Ken Leben yang dipetik China Press mengesahkan Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu berdepan masalah kekurangan bekalan pasport dan ia tidak dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Johor, Pahang, Terengganu dan Melaka tidak berdepan sebarang masalah mahupun kebanjiran pemohon.

Dalam pada itu, Exco Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad turut mengadu gagal memperbaharui pasportnya sejak seminggu lalu, selepas tiga kali berkunjung ke UTC Keramat, manakala UTC Sentul dan UTC Pudu masing-masing sekali sejak 27 Julai lalu hingga semalam, namun masih gagal mendapat nombor giliran kerana sudah habis diedarkan.


12 views0 comments
bottom of page