IPOH: Seorang bekas Leftenan Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijatuhi hukuman denda RM100,000 atau 12 bulan penjara oleh Mahkamah Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) Ipoh selepas mengaku bersalah di atas 6 pertuduhan rasuah berjumlah RM1.6 juta berhubung urusan pembekalan barangan ke TLDM, tiga tahun lalu.
Gambar Hiasan
Hakim S. Indra Nehru turut memerintahkan harta milik tertuduh Khairul Izwan Mohd Khir, 38, yang pernah bertugas sebagai Pegawai Kawalan Material 2, Depot Bekalan Armada TLDM bernilai kira-kira RM1.6 juta dilucutkan hak.
Sebelum ini, pada 9 September 2015, Khairul Izwan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas lima pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima wang dan sekeping kad debit berjumlah RM1.5 juta.
Khairul Izwan turut didakwa dengan satu pertuduhan mengikut akta sama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 14 September 2015 atas tuduhan menerima seutas jam tangan jenama Bell & Ross bernilai RM19,000 daripada seorang kontraktor yang mana tertuduh mengetahui syarikat kontraktor berkenaan mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh.
Khairul Izwan didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut antara bulan Mei 2013 dan Februari 2015.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya SPRM Amer Abu Bakar Abdullah dan Mahadi Abdul Jumaat.
Tertuduh merupakan antara lima bekas pegawai TLDM yang didakwa atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
Mereka ialah Pegawai Pemerintah Depot Bekalan Armada TLDM di Lumut, Kapten Abdul Aziz Gaffor, 54; Pegawai Kawalan Material 3 depot yang sama, Leftenan Komander Rozlin Mustafa, 33, suaminya, Leftenan Komander Rizalman Ghazali, 36, Pegawai Kawalan Material 2 di depot sama dan Leftenan S. Kuvendran, 32.
Abdul Aziz menghadapi tujuh pertuduhan rasuah melibatkan RM1.11 juta dan lima tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM840,000 manakala Rozlin pula atas dua tuduhan rasuah melibatkan suapan bernilai RM230,011.44.
Rizalman pula menghadapi empat tuduhan rasuah berjumlah RM420,852.85 dan Kuvendran didakwa atas empat tuduhan rasuah membabitkan jumlah RM104,971.97.
Kesemua mereka selain Khairul Izwan mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.