top of page
muinsapidin

‘Saya Tak Sempat Buat Apa-apa’

JERANTUT - Seorang peniaga gerai makanan di kawasan medan selera bersebelahan Masjid Tengku Ahmad, di sini mengalami kerugian apabila khemah miliknya musnah diterbangkan ribut pada kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

Nor Mohd Farouk Ismail, 31, berkata, ketika kejadian dia sedang menyediakan makanan petang untuk dijual kepada pelanggan.

Faridah melihat keadaan gerainya yang roboh akibat ribut kelmarin. Gambar kanan: Farouk

menunjukkan khemahnya yang diterbangkan angin.

Menurutnya, angin yang datang secara mengejut dari arah belakang masjid terus menerbangkan dua khemah dan peralatan perniagaan, selain turut menumbangkan gerainya.

Dia berkata, ribut petang kelmarin itu merupakan kejadian kali keempat dan paling buruk pernah berlaku.

“Sebelum ini tak adalah seteruk ini. Kali ini betul-betul teruk...sebab saya tak sempat nak buat apa-apa.

“Masuk kejadian yang ini, sudah empat khemah saya rosak termasuk sebuah khemah yang baru saja saya beli,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Farouk bagaimanapun bersyukur kerana ketika kejadian, pelanggan yang datang makan di gerainya baru sahaja beredar sekali gus tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa ketika kejadian.

Seorang lagi peniaga, Faridah Wahab, 47, pula berkata, ketika kejadian dia tidak berada di gerainya kerana gerainya hanya beroperasi di sebelah pagi.

“Saya dapat tahu pasal ini apabila terima panggilan telefon daripada seorang kenalan. Apabila sampai saya tengok semua sudah terbalik,” katanya.

Penduduk Kampung Melayu, Izham Ahmad Sidin, 45, berkata, ketika kejadian itu, dia yang bermotosikal singgah di masjid berdekatan untuk berteduh memandangkan hujan lebat dan ribut tiba-tiba melanda.

“Tidak semena-mena, saya nampak gerai di medan selera roboh dan atapnya tercabut lalu melayang beberapa meter dari lokasi asal. Masa tu juga pelanggan yang tengah minum bertempiaran lari,” katanya.

Menurutnya, ribut itu juga menumbangkan beberapa batang pokok dan ada dahan patah menghempap sebahagian atap gerai, tetapi tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Difahamkan, pada masa sama enam rumah di kawasan perumahan Sungai Jan turut mengalami kerosakan akibat ribut yang dikatakan melanda selama 20 minit. Turut mengalami kerosakan satu unit kedai di medan selera berhadapan dengan Pasar Besar Jerantut selain sebuah gerai makanan bersebelahan dengan sebuah stesen minyak.


18 views0 comments
bottom of page