KOTA BHARU – Padah buat seorang tukang kayu apabila dihukum penjara enam bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam, selepas mengaku salah melakukan ugutan terhadap isterinya.
Tertuduh, Ahmad Rozlan Mohamad, 28, mengaku mengacu kapak sambil berkata, “diam karang aku tetak mu kang”, terhadap isteri, Rohaya Mahmood, 28.
Tertuduh (dua, kanan) dikawal polis keluar dari mahkamah dan dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa.
Kesalahan dilakukan di dalam kereta di kawasan Kampung Permatang Pasu, Melor, di sini, pada jam 8 pagi, 24 Julai lalu.
Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin dalam hukumannya memerintahkan tertuduh menjalani penjara tambahan selama tiga bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda.
Sebelumnya, dia merayu hukuman terhadapnya diringankan dengan alasan perbuatannya dilakukan kerana salah faham dalam rumah tangga, Mohd Firdaus, bagaimanapun menegur perbuatan tertuduh mengacu kapak itu adalah salah.
Hukuman diputuskan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Dalam kejadian lalu, mereka sedang berada dalam kereta dan berlaku pertengkaran mulut dan secara tiba-tiba tertuduh mengacukan kapak ke arah mangsa dalam jarak dekat.
Kejadian disaksikan salah seorang daripada anak mereka dan berkata, “jangan-jangan”. Mangsa menjadi takut untuk pulang ke rumah dan membuat laporan polis.
Dalam pada itu, tertuduh juga mengaku salah didakwa memberikan kepada dirinya sendiri dadah jenis metamphetamine di belakang Pasar Melor, di sini, di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Julai lalu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ainun Zafirah Abd Halim.