KUALA TERENGGANU - Tiga murid di sebuah sekolah rendah, di sini cedera akibat dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi, dalam kejadian di lampu isyarat Jalan Sultan Sulaiman, di sini, petang kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, tiga murid berusia lapan tahun tercampak ke sebelah kiri jalan.
Keadaan salah seorang mangsa yang cedera dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi
di lampu isyarat Jalan Sultan Sulaiman, petang kelmarin.
Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku semasa lelaki berusia 29 tahun yang memandu Perodua Myvi dari arah Kuala Terengganu menghala ke Dungun. Jelasnya, sebaik tiba di lokasi, tiga mangsa tiba-tiba melintas jalan sambil berlari dari kanan ke kiri jalan. “Difahamkan tiga mangsa berlari di celah deretan kenderaan yang sedang berhenti kerana lampu isyarat berwarna merah untuk membelok ke arah Jalan Pejabat, di sini. “Bagaimanapun, laluan pemandu Perodua Myvi di lorong sebelah kiri adalah hijau untuk ke arah Bulatan Ladang, di sini. “Pemandu yang terkejut melihat ketiga-tiga mangsa sempat membrek namun melanggar mereka menyebabkan tercampak ke sebelah kiri jalan,” katanya. Sumber berkata, pemandu terbabit kemudian turun untuk melihat keadaan ketiga-tiga mangsa yang ketika itu berada dalam keadaan sedar dan mengalami kecederaan. “Mereka kemudian dihantar seorang guru lelaki ke Hospital Sultanah NurZahirah (HSNZ), di sini, untuk rawatan lanjut sebelum seorang daripada mereka ditahan di wad manakala dua lagi hanya dirawat sebagai pesakit luar,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.