KUANTAN - Penjualan ayam mentah berpenyakit seperti yang diviralkan di media sosial tidak dijumpai di pasaran negeri ini. Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, susulan penyebaran viral itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang menjalankan pemeriksaan secara rawak di seluruh negeri Pahang bermula dari 21 hingga 27 Julai lalu.
Pegawai Jabatan Kesihatan Negeri melakukan pemeriksaan terhadap
bekalan ayam mentah di premis yang diperiksa.
Menurutnya pemeriksaan secara fizikal dijalankan ke atas 102 premis penjualan terdiri empat kilang pemprosesan, lima pasar basah dan 93 pasar raya termasuk kedai runcit. “Hasilnya ayam mentah yang berpenyakit seperti yang diviralkan di media sosial tidak dijumpai dalam pasaran negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. Zainal Ariffin berkata, pemantauan di premis jualan berkaitan aspek keselamatan dan kualiti makanan dijalankan secara rutin jabatan itu melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dengan kerjasama Unit Inspektorat dan Perundangan di semua Pejabat Kesihatan Daerah. “Orang ramai dinasihatkan agar memilih bahan mentah yang segar berdasarkan panduan berikut, antaranya memilih ayam mentah yang isinya pejal dan anjal, kulit cerah dan nampak segar, tidak berlendir, tidak berubah warna seperti sudah lebam atau kehijauan. “Pada masa yang sama, elak beli ayam mentah yang sudah berbau busuk (bau daging mereput),” katanya. Menurutnya, jika membeli ayam beku, pengguna perlu pastikan ayam tersebut masih berkeadaan keras dan beku semasa penerimaan. “Keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama bagi mengelakkan keracunan makanan,” katanya.