top of page
muinsapidin

Syarikat Pembinaan Di Kamunting Langgar Pelbagai Peraturan

KAMUNTING: Sebuah syarikat pembinaan di sini diberikan notis selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Pengarah CIDB Perak, Ismail Mat Nor berkata, syarikat itu dipercayai tidak mematuhi syarat ditetapkan agensi berkaitan, termasuk tiada kad perakuan akreditasi pekerja tapak dan personel binaan.

Menurut beliau, hasil serbuan yang dilakukan pada Selasa, seramai 33 pekerja binaan telah dikesan tidak mempunyai Kad Hijau CIDB manakala enam lagi pekerja telah tamat tempoh kad personel binaan.

“Seramai 35 daripada mereka adalah pekerja asing manakala empat lagi adalah penduduk tempatan,” katanya pada sidang media sejurus operasi yang dilakukan di tapak pembinaan berkenaan pada Selasa.

Operasi tersebut akan diteruskan sehingga Rabu.

Ismail berkata, pihak Imigresen turut telah menahan 25 Pekerja Asin Tanpa Izin (PATI) di tapak projek berkenaan kerana pelbagai kesalahan, termasuk tinggal lebih masa, tiada pas dan melanggar syarat pas.

“Saya dimaklumkan oleh pihak Imigresen, warga asing yang ditahan ini akan dihantar ke Jabatan Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan lanjut,” ujarnya.

Di samping itu, kata beliau, pihak Jabatan Alam Sekitar juga turut telah mengeluarkan 11 notis kepada syarikat yang terlibat kerana dikesan melakukan pembakaran terbuka secara kecil-kecilan serta tempat pembiakkan nyamuk.

Menurut Ismail, syarikat berkenaan telah pun diberi notis berkaitan kesemua kesalahan tersebut dan pihaknya kini menunggu maklum balas kepada agensi penguatkuasa terlibat.

“Ketika operasi yang kita jalankan tadi, hanya pekerja-pekerja sahaja yang ada manakala majikan ataupun kakitangan pejabat syarikat ini tidak ada,” tambahnya.

Operasi mulai jam 9 pagi itu turut disertai 86 pegawai daripada Jabatan Imigresen, Jabatan Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar, Majlis Perbandaran Taiping, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Akademi Binaan Malaysia.


45 views0 comments
bottom of page