IPOH: Pakatan Harapan Perak sebulat suara mencadangkan V. Sivakumar sebagai calon Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dalam sesi pemilihan baru yang dijangka diadakan 9 Ogos depan.
Jawatan tersebut kosong ekoran perletakan jawatan Datuk Seri S.K Devamany yang dilantik menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam rombakan kabinet baru-baru ini.
Pengerusi PRK Perak, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, pihaknya sepakat mencalonkan Sivakumar kerana pengalamannya dalam bidang politik, termasuk pernah menjadi speaker ketika pakatan pembangkang menerajui negeri Perak selepas pilihan raya umum tahun 2008.
"Selain itu, beliau juga mempunyai kelayakan akademik, Sarjana Muda Undang-Undang dan Sarjana Pengurusan Perdagangan, juga Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa DAP Pusat, Ahli jawatankuasa International Parliamentarian Union (IPU) Malaysia dan Ahli Parlimen Batu Gajah,” katanya kepada Suara Perak pada Selasa.
Dr Muhammad Nur Manuty berkata, pihaknya juga percaya Sivakumar adalah calon yang paling sesuai untuk memegang jawatan penting itu dan mampu menjaga martabat Dewan Negeri Perak dengan baik.
"Pakatan Harapan menyeru semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri Perak termasuk dari Barisan Nasional dapat mengundi Sivakumar berdasarkan kelayakan calon dan merentasi politik parti," ujarnya.