top of page
muinsapidin

Perkasa Keusahawanan Wanita Melalui Bengkel Restyle

IPOH: Kerajaan negeri Perak sedia untuk mengadakan bengkel "Restyle" di beberapa lokasi sekitar negeri seperti Behrang, Larut dan Lumut dalam masa terdekat bagi meningkatkan pengupayaan wanita dalam sektor perniagaan dan keusahawanan.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, pihaknya sedang mengenalpasti beberapa lokasi yang berpotensi untuk dijadikan bengkel bagi wanita yang berminat.

Menurut beliau, usaha itu akan direalisasikan bersama Pusat Latihan Kraftangan Epal (Epal) dan beberapa agensi terlibat untuk meningkatkan kuantiti usahawanita dalam bidang jahitan kreatif berkenaan.

"Bengkel Restyle ini merupakan satu pendekatan dan inisiatif yang menarik khususnya kepada usahawan supaya mereka dapat membuka minda untuk menambah nilai produk mereka.

"Contohnya, Epal melatih kita untuk tidak membazirkan baju dan tudung yang boleh ditambah baik dengan menggunakan barang-barang lebihan seperti perca kain yang biasanya dibuang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Penyampaian Sijil Guinness World of Records Bengkel Restyle and Perkembangan Seni Jahitan Kreatif di Malaysia di Dewan Serbaguna SUK pada Selasa.

Katanya, kerajaan negeri bercadang untuk menyalurkan beberapa peralatan dan mesin jahit kepada golongan ibu tunggal dan wanita tidak berkemampuan, agar mereka dapat menjana pendapatan secara lebih berkesan dan berterusan di bawah seliaan Epal.

"Kalau dahulu, kita nak buat pelbagai jenis jahitan dan corak pada kain hanya menggunakan tangan, namun kini semuanya boleh dilakukan dengan mudah oleh sebuah mesin, sekaligus meningkatkan produktiviti," ujarnya.

Rusnah berkata, pendekatan murni Epal untuk melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melalui kaedah inovatif itu merupakan satu langkah yang diyakini dapat membantu menambahbaik kehidupan golongan wanita di negeri ini.

Dalam majlis tersebut, Rusnah menyampaikan lebih daripada 100 sijil kepada peserta yang menyertai Cabaran Beg Terbesar di Ipoh Parade pada Februari lepas dan diiktiraf dalam rekod Guinness World Records, di samping peserta yang memasuki penghasilan penutup sofa terpanjang di Malaysia iaitu sepanjang 53 meter.


18 views0 comments
bottom of page