top of page
muinsapidin

Jiran Rungkai Misteri Bau Busuk

SUNGAI BESAR – Misteri bau busuk sejak beberapa hari lalu di beberapa rumah di Taman Purnama 2 di sini, akhirnya terjawab apabila seorang warga emas yang tinggal bersendirian ditemui mati dalam rumahnya, di sini, malam kelmarin. Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Wak Jinal itu ditemui mati di bilik tengah rumah berkenaan.

Jiran mangsa, 33, yang enggan namanya disiarkan berkata, dia hanya mengetahui tentang kematian warga emas itu apabila jiran berhampiran rumah memberitahu terhidu bau busuk di rumah terbabit. “Jiran berdekatan tinjau rumah mangsa melalui cermin tingkap yang tertanggal. “Jiran saya kata dia tercium bau tu dari rumah mangsa. Mulanya ingat bau bangkai haiwan, tapi bila tengok pintu pagar tak berkunci, dia tergerak hati nak tengok apa yang berlaku dalam rumah tersebut. “Sebaik saja jenguk ke dalam, kawan saya terkejut bila nampak mayat mangsa di rumah itu dan terus panggil beberapa jiran sebelum kami hubungi polis,” katanya. Difahamkan, mangsa yang mempunyai anak itu telah bercerai dengan isterinya dan bekerja di sebuah bengkel kereta di Sungai Besar. Sementara itu, rakan sekerja mangsa, Mohd Nur Ashraf Abdullah Bajuri, 27, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah pada Isnin lalu dan terkejut apabila dimaklumkan mangsa yang berusia 67 tahun itu meninggal dunia. Mohd Nur Ashraf berkata, berita kehilangan arwah yang mengambil upah mengemas bengkel kereta itu diketahuinya selepas salah seorang rakannya memaklumkannya menerusi aplikasi WhatsApp. Menurutnya, sepanjang mengenali arwah sejak bekerja di bengkel itu kira-kira enam bulan lalu, Wak Jinal disifatkan sebagai seorang yang baik dan selalu mengambil berat hal rakan-rakannya yang lain. Katanya, arwah juga gemar menunggang basikal sejak beberapa minggu lalu. “Biasanya dia datang ke bengkel dengan motosikal. Saya tengok, sejak beberapa hari lalu dia gemar naik basikal. Bila ditanya kenapa tak bawa motosikal, dia cakap nak keluarkan peluh dan hidup sihat,” katanya. Seorang lagi rakan mangsa, Akmaludin Satar, 27, berkata, bengkel itu menjadi rumah kedua arwah. “Arwah memang rapat dengan majikan. Dia seorang yang baik hati dan selalu bergurau dengan kami,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut. “Siasatan forensik PDRM tidak menunjukkan sebarang perbuatan jenayah pada mangsa,” katanya. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.


7 views0 comments
bottom of page