SERI ISKANDAR - Gara-gara pembakaran sampah, sebuah rumah nyaris terbakar apabila api merebak dalam kejadian di Taman Maju, di sini, kelmarin.
Anggota bomba memadam kebakaran bagi mengelakkan ia merebak ke tempat lain.
Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, api berkenaan memusnahkan bahagian tempat meletak kereta sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar melakukan operasi pemadaman. Jurucakap bomba memaklumkan, mereka menerima panggilan berkenaan kejadian kira-kira jam 2.43 petang dan segera bergegas ke tempat kejadian. Menurutnya, apabila tiba lokasi kejadian, didapati sebuah rumah sedang terbakar di bahagian tempat letak kereta dan kerja-kerja memadamkan kebakaran segera dilaksanakan. “Berdasarkan maklumat, kebakaran asalnya melibatkan longgokan sampah di luar rumah dan api merebak sehingga terkena sebahagian tempat letak kereta dan dianggarkan musnah sebanyak 20 peratus pada bahagian bumbung. “Kerja-kerja pemadaman selesai kira-kira jam 3.40 petang apabila api berjaya dipadamkan sepenuhnya," katanya.