top of page
muinsapidin

Kerjasama DAP, PKR Rapuh

SUNGAI SIPUT: Kegagalan DAP untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut di Pulau Pinang jelas membuktikan kerjasama di antara parti itu dengan PKR kebelakangan ini semakin rapuh.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput, Datuk Zolkafly Harun, rakyat sudah boleh melihat dan menilai sendiri bahawa barisan pembangkang tidak berupaya untuk menjadi sebuah kerajaan yang baik seperti Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, kegagalan DAP untuk mengadakan PRN juga membuktikan sudah tiada kesepakatan di antara parti itu dengan parti-parti pembangkang yang lain.

``Kalau tiada kesepakatan dan kerjasama yang semakin rapuh, saya yakin dan percaya DAP serta parti-parti pembangkang yang lain tidak mampu untuk menjadi sebuah kerajaan,’’ katanya.

Beliau yang juga ADUN Lintang berkata demikian kepada pemberita di Majlis Aidilfitri di Dewan Besar Kota Kanan, Sungai Siput pada Isnin.

Beliau diminta mengulas tindakan DAP yang terpaksa membatalkan hasrat mengadakan pilihan raya negeri mengejut di Pulau Pinang.

Semalam Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, DAP terpaksa membatalkan hasrat mengadakan pilihan raya negeri tersebut selepas tidak mendapat persetujuan PKR.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, keputusan tidak bersetuju itu dimaklumkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kepadanya semalam yang bimbang akan hilang lebih banyak kerusi berbanding DAP.


24 views0 comments
bottom of page