IPOH: Isu penanaman ketum perlu dirujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan dan pakar dalam pelbagai bidang bagi mengelakkan sebarang kekeliruan di kalangan masyarakat.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, walaupun ada pihak yang berpendapat ia baik untuk kesihatan dan hanya tujuan eksport, tetapi ia memerlukan kajian terperinci.
Sehubungan itu, beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana dibimbangi akan disalahgunakan di masa akan datang.
“Saya nampak perkara ini sesuatu yang agak kontroversi dan sensitif, jadi kena buat kajian betul-betul sebab ia memang telah diharamkan,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Inovasi 2016 Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Perak di Amanjaya Convention Centre di Hotel Casuarina @ Meru di sini pada Isnin.
Baru-baru ini, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bercadang untuk menanam pokok ketum bagi meningkatkan hasil pendapatan pekebun kecil di negara ini.
Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata pihaknya mendapat permintaan tinggi untuk mendapatkan bekalan ketum daripada farmasi di Amerika Syarikaat (AS) dan Eropah.
Raja Ahmad berkata, sekiranya untuk tujuan perubatan, banyak lagi tanaman yang berpotensi untuk dimajukan seperti petai dan durian belanda yang dikatakan baik untuk kesihatan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, PPN Perak berjaya mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM5 juta tahun lalu di samping RM1.9 juta sehingga Jun tahun ini.
Sehubungan itu, beliau mengumumkan pengagihan sebanyak RM35,000 kepada setiap 30 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang terdapat di negeri ini, untuk menjalankan aktiviti masing-masing.
Menurutnya, dalam usaha untuk meningkatkan lagi pendapatan, PPN Perak sedang membina sebuah kilang sawit di Beruas yang melibatkan pelaburan RM50 juta dan dijangka mula beroperasi tahun depan.
Selain itu, katanya, mereka juga bercadang untuk membina kilang padi bagi membantu mengurangkan masalah pesawah seperti pemotongan dan lambakan padi.