IPOH: Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, beliau belum bersedia berjumpa dengan mana-mana individu untuk berbincang perkara tertentu kerana masih mahu berehat.
Husni tidak menafikan terdapat beberapa pihak dan individu yang ingin berjumpanya tetapi beliau enggan berbuat demikian kerana masih dalam proses menyesuaikan diri selepas meletakkan jawatan di dalam parti dan kerajaan baru-baru ini.
Beliau berharap semua pihak memberi ruang kepadanya untuk melaksanakan beberapa tugas yang belum selesai di kawasannya, termasuk dari segi pembangunan dan membantu mengurangkan kemiskinan.
"Memang ada pemimpin dari Barisan Nasional, pembangkang atau pemimpin di tengah-tengah yang ingin berjumpa dengan saya, tetapi saya masih tidak tahu intipati mereka ingin berjumpa termasuklah samada di bidang politik dan sebagaiya," katanya kepada pemberita ketika Majlis Sambutan Aidilftri Briged Utara Pasukan Latihan PGA di PGA, Ulu Kinta di sini pada Isnin.
Husni berkata, beliau masih lagi memegang tiga jawatan utama iaitu Ahli Perundangan Parlimen, Presiden Asian Forum of Parliamentarians on Population and Development (AFPPD) dan juga sebagai Ahli Parlimen Tambun sehingga tempoh jawatan tersebut berakhir pada tahun 2018 kelak.
Justeru itu, beliau menegaskan bahawa jawatan yang dipertanggungjawabkan kepadanya itu akan dijalankan dengan amanah dan sepenuh hati untuk membantu mereka yang masih lagi terhimpit dengan masalah ekonomi dan dibelenggu kemiskinan di negara ini.
“Saya setuju, apabila orang mengatakan apabila tidak menjadi Menteri Kewangan kemungkinan dana tersebut berkurangan, tetapi kita kena faham bahawa kawasan Tambun ini telah banyak dibangunkan sepanjang tempoh saya dan isu utama dalam pembangunan bukan terletak pada infrastruktur semata-mata.
"Sebaliknya ianya lebih berfokuskan kepada pengurusan sumber manusia kerana masih terdapat beberapa permasalahan di kalangan masyarakat yang memerlukan bantuan dalam memastikan bahawa matlamat kita untuk mensejahterakan rakyat," ujarnya.