top of page
muinsapidin

Dua Lelaki 'Lalok' Ditahan

JEMPOL - Dua lelaki yang terbabit dalam kemalangan berasingan, Rabu lalu dipercayai berpunca apabila masing-masing berada dalam pengaruh dadah. Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Noorzainy Mohd Noor berkata, kereta jenis Proton Persona dinaiki lelaki berusia 57 tahun terbabas dalam parit di Felda Pasoh 3, Batu Kikir, kira-kira jam 8 malam, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol - Noorzainy Mohd Noor

"Lelaki itu dilihat duduk bersila dalam kereta tersebut dan enggan keluar. Malah dia turut memarahi orang ramai yang membantunya dalam kemalangan berkenaan. "Dia tidak mengalami kecederaan tetapi tidak berusaha untuk keluar dari kenderaannya walaupun pintu sebelah kirinya boleh dibuka susulan pintu sebelah pemandu tersekat di tebing," katanya selepas mengesahkan laporan, semalam. Katanya, lelaki itu dipercayai melarikan diri dari rumahnya di Gemas selepas dicari oleh polis kerana terlibat dalam aktiviti penagihan dadah. "Dia cuba sembunyikan diri di rumah saudaranya di Felda Pasoh 3. Bagaimanapun, akibat masih di bawah pengaruh dadah, dia terbabas ketika memandu. "Ujian air kencing juga mendapati, dia positif Methamphetamine. Dia telah direman bermula Khamis lalu sehingga hari ini," katanya. Sementara itu, kata Noorzainy, kes kedua melibatkan lelaki berusia 26 tahun yang dijumpai terjatuh daripada motosikalnya di Jalan Felda Palong 9, 10 dan 11 menghala ke Jalan Palong 4, 5 dan 6, kira-kira jam 10.10 malam. "Namun mengejutkan apabila pegawai perubatan menjumpai alat menghisap dadah dan bekas tin mengandungi sepaket bahan disyaki dadah heroin dan enam tiub straw disyaki dadah syabu ketika ingin mencari kad pengenalannya dalam beg. "Dia yang positif dadah jenis Opiate direman sehingga 2 Ogos ini dan akan dituduh di bawah Seksyen 12(2)Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


14 views0 comments
bottom of page