top of page
muinsapidin

Diserang Kepala Angin

KEMAMAN – Seorang nenek bersama anak dan cucunya nyaris diterbangkan kepala angin yang menyerang empat kampung di Kijal, di sini, lewat petang kelmarin sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 149 rumah mengalami kerosakan atap. Kawasan Bukit Kuang paling teruk terjejas dalam insiden pada kira-kira jam 5 petang itu apabila sekolah rendah, sekolah menengah, balai raya dan dewan sivik mengalami kerosakan atap.

Sabri (dua kiri) bersama ahli jawatankuasanya mengumpulkan maklumat mengenai jumlah

mangsa terjejas di depan balai raya kampung yang turut mengalami kerosakan atap.

Kiah Mamat, 64, berkata, dia bersama tujuh anak dan tujuh cucunya berada di bangsal bersebelahan rumah di kawasan Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Bukit Kuang sebelum pusaran angin datang secara tiba-tiba ke arah mereka. "Ketika itu makcik bersama anak dan cucu sedang cucuk sate. Tiba-tiba kami nampak benda putih dalam jarak di udara dalam jarak beberapa meter meluru ke arah bangsal tempat kami duduk. Masa tu badan makcik rasa terangkat macam nak terbang. "Nasib baik kami sempat berpelukan sesama sendiri dan cepat-cepat beralih ke tepi dinding rumah. Kejadian itu berlaku cuma beberapa saat tapi hujan yang melanda ketika itu hanya berhenti selepas sejam," kata ibu kepada 11 anak itu ketika ditemui di rumahnya. Bagaimanapun Kiah tidak sedar atap rumahnya diterbangkan pusaran angin dan hanya mengetahuinya setelah dimaklumkan oleh salah seorang anaknya yang masuk ke dalam rumah dan melihat lantai basah. "Sebanyak 20 keping atap rumah makcik rosak. Mujurlah atap rosak teruk hanya di bahagian bilik tidur tengah, bukan ruang tamu. Kalau tak habis basah barang elektrik. "Seumur hidup makcik, inilah kali pertama tengok kepala angin menyerang depan mata," katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) RAKR Bukit Kuang, Sabri Ali. Sabri membuat tinjauan dari rumah ke rumah selepas kejadian itu untuk mengenal pasti penduduk yang terjejas akibat serangan kepala angin. Cuma mampu azan Sementara itu, Wan Rizah Wan Daud, 60, memberitahu, dia juga berada di luar rumah bersama empat cucunya yang masih kecil ketika kejadian dan masuk ke dalam rumah apabila tiupan angin semakin kencang. “Kami lari masuk dalam rumah...tapi rasa lebih takut dalam rumah sebab tiba-tiba dengar bunyi prak…prak…prak. Bila dongak ke atas, makcik nampak atap tercabut sekeping demi sekeping dan waktu itu makcik cuma mampu laung azan berulang kali. "Nasib baik kejadian cuma beberapa saat dan semua cucu makcik tak cedera. Bahagian atap diterbangkan angin adalah ruang tamu, dapur dan dua bilik tidur. Tapi makcik bersyukur kerana bantuan cepat sampai. Selepas beberapa jam kejadian berlaku makcik terima atap baharu," katanya. Harap mangsa bersabar Penyaluran bantuan atap dan kerja baik pulih rumah terjejas diselaraskan oleh Pejabat Daerah Kemaman dan bantuan segera turut diberikan Pejabat Dun Kijal dan Pejabat Parlimen Kemaman. Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Rohani Abdullah diiringi Pegawai Daerah Kemaman, Rosman Roslan berserta Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah, Mohd Fadzli Ismail meninjau kerosakan dan menyampaikan bantuan segera semalam. Sementara itu, Rosman memaklumkan, kerja-kerja pemasangan semla atap rumah mangsa terlibat mula dilakukan semalam dan dijangka akan memakan masa selama tiga hari untuk siap sepenuhnya. "Selain Bukit Kuang, Pengkalan Cicar, Taman Rakyat Bestari dan Teluk Kalong turut terjejas. Selain atap asbestos dan zink, kerosakan turut melibatkan atap genting. "Bantuan segera disampaikan ke lokasi kejadian sejak semalam (kelmarin) dan saya harap semua mangsa bersabar hadapi dugaan ini," katanya. Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Idris Bidin mengesahkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kuang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kuang turut mengalami kerosakan akibat kejadian kepala angin itu. Menurutnya, beliau telah mengarahkan penyelia pembangunan menyiasat dan kerosakan dianggarkan berjumlah lebih kurang RM16,000, iaitu RM10,000 bagi SK Bukit Kuang dan RM6,000 bagi SMK Bukit Kuang. "Bangunan pra sekolah antara yang rosak teruk kerana sebahagian atapnya tercabut. Kerosakan akan dibaiki segera bagi memastikan proses pembelajaran tidak terganggu. Kita juga bersyukur kerana kejadian tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa," katanya.


9 views0 comments
bottom of page