top of page
muinsapidin

PTPTN Bantu Peminjam Bermasalah Dengan CCRIS

LENGGONG: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang berbincang dengan industri automatif, perumahan dan perbankan bagi membantu peminjam yang terjejas ekoran penyenaraian di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya bercadang untuk menggunakan model program showcase MyHome bersama PR1MA yang menyediakan platform rundingan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Menurut beliau, melalui program itu, PTPTN akan menyertai roadshow PR1MA yang bertindak sebagai pusat sehenti untuk menyelesaikan masalah dengan kadar segera di tempat berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat pengumuman dalam masa terdekat mengenai hasil perbincangan itu yang mungkin mengambil sedikit masa.

“Oleh kerana kita mendapat rungutan daripada pelbagai pihak ini, walaupun kita tahu bahawa sama ada sektor perumahan ataupun industri kereta, ia sebenarnya bukanlah seratus peratus berpunca daripada PTPTN, ada faktor-faktor lain.

“Namun demikian, sebagai perbadanan yang bertanggungjawab, kita sedang berbincang dengan semua pihak yang berkepentingan ni untuk membolehkan kita mencari jalan yang terbaik,” katanya.

Beliau ditemui ketika majlis Jamuan Rakyat Aidilfitri Parlimen Lenggong 2016 di Dataran Taman Kota Tampan dekat sini pada Ahad.

Baru-baru ini, beberapa syarikat pengeluar kereta dikatakan mengeluh kononnya jualan kereta mereka merosot disebabkan ramai peminjam PTPTN telah disenaraikan hitamkan.

Shamsul menjelaskan, ia sebenarnya bukanlah senarai hitam tetapi sebaliknya hanya sekadar rekod pinjaman yang bukan hanya melibatkan PTPTN tetapi juga pelbagai pihak lain.

Beliau berkata, dalam masa sama, bagi membantu peminjamnya, PTPTN sedang meningkatkan sistem teknologi maklumat untuk menyediakan prasarana bagi membolehkan mana-mana individu yang bermasalah, menghubungi mereka dengan segera.

Menurutnya, peminjam yang bermasalah juga boleh berurusan dengan lebih 60 kaunter PTPTN di seluruh negara, tanpa perlu menghebohkannya di dalam media sosial kerana tindakan itu tidak akan menyelesaikan masalah.

Beliau memberitahu, sehingga 30 Jun 2016, pihaknya dapat mengutip hanya 49.6 peratus daripada RM56.4 bilion pinjaman yang diluluskan kepada kira-kira 2.5 juta peminjam.


19 views0 comments
bottom of page