PASIR SALAK: UMNO bersedia untuk menghadapi sesiapa sahaja di dalam Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU – 14), termasuk parti baru yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, sesiapa sahaja yang layak, boleh bertanding dalam pilihan raya, baik pilihan raya umum, mahupun pilihan raya kecil.
Menurut beliau, sebagai sebuah parti yang telah mengharungi 13 pilihan raya umum dan banyak pilihan raya kecil, UMNO mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk bertanding dan tidak akan menghalangnya.
Bagaimanapun, kata beliau, berdasarkan rekod, walaupun melalui pelbagai krisis dan masalah dalaman, akhirnya rakyat memilih UMNO dan Barisan Nasional untuk terus memerintah negara.
“Bagi kita, kita tidak kisah itu, sebab negara kita mengamalkan demokrasi, sesiapa pun boleh menubuhkan parti dan juga bertanding dalam pilihan raya, malah tak ada parti pun boleh bertanding sebagai calon bebas.
“Kita tengoklah nanti, kita lawanlah kerana kita dah biasa berlawan, sudah 13 kali pilihan raya kita berlawan, PRK pun kita berlawan sana sini, ada yang kita menang, ada yang kita kalah, biasalah,” katanya.
Beliau ditemui ketika majlis Jamuan Aidilfitri Parlimen Pasir Salak di pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ranggam, dekat sini pada Sabtu.
Baru-baru ini, Tun Mahathir memberitahu parti pembangkang baharu yang masih belum mempunyai nama itu akan meletakkan calon-calonnya yang terdiri daripada muka baru serta lama untuk bertanding pada PRU-14.
Mengulas mengenai laporan polis Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, Tajuddin berkata, ia kini terserah kepada Azwan.
Menurut beliau, selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa laporan itu dibuat atas kapasiti peribadi, terpulang kepada Naib Ketua Pemuda itu mengambil langkah seterusnya.