top of page
muinsapidin

Sistem Pengurusan Aduan Bersepadu Bakal Dilancar Di Perak

IPOH: Perak akan bekerjasama dengan Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri untuk melaksanakan pengurusan aduan yang sistematik menjadi pusat pengumpulan aduan bersepadu daripada agensi kerajaan dan swasta.

Timbalan Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam, Ibrahim Ismail berkata, usahasama holistik itu akan dijalankan di bawah Sistem Pengurusan Aduan Bersepadu (SISPA) dalam masa terdekat setelah dilancarkan di peringkat kebangsaan pada Mei lepas.

Menurut beliau, Perak merupakan negeri ketiga selepas Melaka dan Pahang yang melaksanakan sistem itu, hasil komitmen kerajaan pusat untuk memastikan pandangan serta aduan rakyat diterima pakai dan dipertimbangkan untuk penambahbaikan sistem perkhidmatan.

" Pelaksanaan SISPA akan memudahkan kerja banyak pihak, aduan dan pandangan daripada seluruh rakyat akan dikendalikan secara cekap dan sistematik.

"Setakat dilancarkan Mei lalu, kita telah menerima ribuan muat turun dan pengguna yang menggunakan platform untuk memberi aduan dan meminta informasi mengenai pelbagai jabatan seperti tLembaga Air Perak, Pihak Berkuasa Tempatan, SUK Perak dan banyak lagi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika merasmikan Program Mesra dan Kaunter Aduan Bergerak Bersepadu (KABB) yang menampilkan 32 gerai agensi swasta dan kerajaan pada petang Sabtu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudun Abdu Hasan berkata, kerajaan negeri sedang meneliti sebarang penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam pengurusan aduan.

"Melalui program gerai-gerai aduan seperti ini, kita sebenarnya hendak mendapatkan pengukur samada prosedur di jabatan kerajaan dan swasta boleh diteruskan seperti sedia ada atau perlu dinilai tambah dan digubal supaya peraturan untuk menyelesaikan masalah rakyat boleh dikemaskini.

"Ini adalah untuk memastikan bahawa aduan, informasi dan pandangan rakyat dapat diambil kira dalam memenuhi matlamat kerajaan negeri untuk membantu dan mensejahterakan rakyat," ujarnya.

Menurut Samsudin, program itu turut membuka ruang kepada kakitangan awam mendapatkan maklum balas daripada rakyat untuk meminimakan isu dan permasalahan negatif yang dialami rakyat di peringkat akar umbi.


24 views0 comments
bottom of page