IPOH – Tiga anak Perak bersama dua rakan dari negeri lain berangkat ke tanah suci menaiki kapcai semalam selepas tiga bulan membuat persediaan untuk menyertai pengembaraan yang dikenali sebagai Ride To Hajj 2016.
Zambry (dua, kanan) bersama Wazi (kanan), Meor Azhar (kiri) dan Mat Napiah
ketika menghadiri program santai Ride To Hajj.
Mereka bakal mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia yang menyempurnakan ibadat haji melalui jalan darat menaiki motosikal.
Bekas juara Kejohanan Malaysia Cub Prix, Wazi Abdul Hamid, 45, yang berasal dari Tambun akan mengetuai pengembaraan sejauh 12,500 kilometer itu yang dijangka mengambil masa antara 35 hingga 45 hari untuk tiba di lokasi berkenaan.
Menurutnya, dua lagi anak Perak yang turut terlibat dalam pengembaraan ini adalah peladang, Mat Napiah Mohd Noor, 50, dari Matang dan kontraktor membaiki rumah, Meor Azhar Meor Raflan, 43, dari Bota Kiri.
Selain itu, katanya, pengurus acara, Azman Baharuddin, 52, dari Seremban dan penjawat awam, Othman Darus, 46, turut bersama mereka dalam pengembaraan itu.
“Idea itu tercetus dalam tempoh yang singkat dan kita bersyukur kerana niat untuk melaksanakan pengembaraan ini disokong pelbagai pihak termasuk Lembaga Tabung Haji yang memberikan peluang untuk melakukan ibadat haji.
“Kita juga berasa bertuah apabila Modenas tampil menaja lima motosikal untuk digunakan sepanjang perjalanan menuju ke tanah suci itu.
“Perjalanan ini dijangka akan merentasi tujuh negara iaitu Malaysia, Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran sebelum memasuki Arab Saudi.
“Antara cabaran yang bakal ditempuh adalah kita akan melalui kawasan tertinggi dan panas iaitu Banjaran Himalaya setinggi 5,486 meter dengan suhu mencecah 0 darjah Celsius manakala suhu di padang pasir pula dijangka mencapai 55 darjah Celsius.
“Dalam masa sama, kita turut berhubung dengan Kementerian Luar supaya dapat berkomunikasi dengan negara yang bakal dilalui agar perjalanan ini dipermudahkan,” katanya.
Wazi ditemui pada sidang media selepas menghadiri program santai Ride To Hajj bersama Ipoh Bikers yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Katanya, segala peralatan membaiki motosikal juga telah disediakan dan mereka turut dibekalkan alat peranti wifi supaya segala perkembangan terkini dapati dimuat naik dalam media sosial.
Tambahnya, selepas selesai mengerjakan haji, motosikal itu akan diserahkan kepada pelajar Malaysia yang menetap di Jeddah dan Madinah bagi memudahkan mereka menjalani aktiviti harian.
Wazi berharap, perjalanan dia bersama empat rakannya itu dapat muhasabah diri masing-masing serta mendekatkan diri mereka dengan ALLAH SWT.
Sementara itu, Zambry berkata, kerajaan negeri amat berbangga dengan semangat yang ditunjukkan anak Perak yang bukan sahaja berniat untuk menunaikan haji tetapi menganggap pengembaraan tersebut sebagai satu cabaran.
“Kita tahu mereka perlu merentasi banyak negara dan pastinya mereka memerlukan semangat kuat dari segi fizikal dan mental.
“Saya juga menganggap ini sebagai satu ‘trending’ kerana apabila berjaya, sudah pasti mereka akan menjadi idola kepada anak-anak muda," katanya.