IPOH: Dua kanak-kanak yang sebelum ini disyaki mengalami simptom difteria, disahkan bebas daripada jangkitan penyakit itu.
Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, analisis tisu dua kanak-kanak itu oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang diterima hari ini menunjukkan keputusan negatif terhadap penyakit berkenaan. "Perak masih bebas daripada penyakit berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini. Dua beradik masing-masing berusia setahun lima bulan dan dua tahun 11 bulan itu sebelum ini dikesan mengalami gejala seakan difteria seperti demam, sakit tekak dan batuk serta dirawat di Hospital Seri Manjung (HSM) sejak 25 Julai lepas. Kanak-kanak berusia dua tahun 11 bulan itu sudah menerima imunisasi tetapi adiknya belum diberi vaksin berkenaan kerana faktor usia yang masih muda.