IPOH: Bekas Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Ismail Shahudin, 66, meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur akibat komplikasi jantung, kira-kira jam 6.15 pagi Sabtu.
Allahyarham juga merupakan Naib Pengerusi dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kumpulan perbankan besar Malaysia, Maybank dan Pengerusi Maybank Islamic.
Jenazah Allahyarham kemudiannya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini, kira-kira jam 2.45 petang.
Terdahulu, jenazah dibawa ke Masjid At-Taqwa di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) untuk penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan kenalan sebelum disembahyangkan.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Azimah Othman dan empat orang anak.
Berkelulusan Sarjana Ekonomi dari Universiti Malaya, Allahyarham dilantik sebagai Pengarah dan Pengerusi Maybank Islamic pada 28 Januari 2010.
Ismail juga pernah menjadi Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad pada tahun 2004 sebelum menamatkan perkhidmatan pada Julai 2008.
Allahyarham turut pernah berkhidmat dengan Citibank dan United Asian Bank, selain menjadi Pengarah Eksekutif Maybank pada 1997.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri Perak mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Menurut beliau, kerajaan negeri melahirkan rasa dukacita dan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang tokoh yang banyak berjasa kepada negara dan negeri Perak khususnya.
Beliau berkata, Allahyarham adalah seorang tokoh korporat terutamanya dalam bidang perbankan dan ekonomi.
“Sebagai Ahli Dewan Negara Perak dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), sumbangan beliau kepada negeri Perak terutamanya dalam sektor pembangunan ekonomi dan pendidikan negeri ini amatlah besar.
“Semoga pemergiannya dalam husnul khotimah, serta ditempatkan rohnya bersama para solihin dan muttaqin,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Sabtu.