Ahli Koperasi Pangkor Berhad digesa supaya tidak putus asa berusaha ke arah menjadikan koperasi itu sebagai entiti perniagaan yang mampu menjana pendapatan kepada mereka.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga ADUN Pangkor berkata ahli harus bersama-sama mengemblingkan idea bagi mengembangkan lagi aktiviti perniagaan koperasi.
Menurutnya semakin banyak aktiviti yang dijalankan, semakin banyak keuntungan yang bakal diperolehi seterusnya memberi lebih tinggi pulangan dividen kepada ahlinya.
"Sebenarnya, sektor koperasi merupakan antara aktiviti yang paling berkesan dalam menjana ekonomi.
Justeru, saya percaya Koperasi Pangkor Berhad ini boleh berjaya dalam melahirkan budaya pernigaan dan keusahawananan kalangan penduduk Pangkor.
Hasilnya nanti sudah tentu dapat meningkatkan ekonomi masyarakat Pangkor," katanya.
Beliau berucap ketika merasmikan mesyuarat agong kali ke-12 Koperasi Pangkor Berhad di SRK Pangkor petang tadi.
Di majlis itu, Menteri Besar mengumumkan bantuan dana berjumlah RM100,000 kepada koperasi berkenaan.
Koperasi Pangkor Berhad ditubuhkan 21 tahun lalu tetapi hanya aktif menjalankan aktiviti perniagaan sejak 6 tahun kebelakangan ini.
Dengan kekuatan ahli seramai 600 orang, koperasi itu kini dilihat semakin berkembang dengan kejayaan membeli bangunan bernilai RM1.7 juta.
Koperasi juga telah berjaya menyakinkan rangkaian makanan segera KFC membuka cawangan di Pangkor dengan menyewa bangunannya sebagai premis perniagaan.
Selain itu, koperasi juga bakal mengusahakan projek agro-tourism di Slim River dan membuka kedai runcit serta kedai borong.