IPOH: Tiga agensi sedang membangunkan sistem perkongsian maklumat Integrasi Bersepadu bagi melaksanakan pengurusan penguatkuasaan lebih mantap dan menyeluruh, khususnya mengenai prosedur menyenarai hitam pemandu, pemilik dan kenderaan.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Nadzri Siron berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi melaksanakan perkongsian maklumat itu secara terus dalam talian.
Menurut beliau, ketika ini, JPJ menggunakan sistem perkomputeran mySIKAP manakala PDRM menggunakan sistem sendiri dan SPAD sedang membangunkan sistemnya.
“Kita bersetuju supaya sistem integrasi sedia ada ditingkatkan, khususnya prosedur menyenarai hitam pemandu, pemilik dan kenderaan,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke ibu pejabat JPJ Perak di sini pada Jumaat.
Nadzri berkata, perbincangan antara tiga agensi berkenaan dibuat atas arahan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berikutan kes kemalangan sebuah bas ekspres yang merempuh 10 kenderaan berhampiran Terowong Menora baru-baru ini.
Menurutnya, ketika ini, semua notis saman yang dikeluarkan oleh JPJ tidak boleh diakses PDRM, begitu juga sebaliknya, manakala SPAD pula perlu berhubung dengan JPJ untuk mendapatkan maklumat berkaitan.
Katanya, sistem integrasi bersepadu yang dibangunkan dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) itu diharap menyelesaikan masalah berkenaan.