top of page
muinsapidin

Penguatkuasa Perlu Kreatif Untuk Kurangkan Kemalanganh

IPOH: Pihak penguatkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu kreatif mencari jalan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, khususnya yang melibatkan kenderaan berat.

Penasihat Kementerian Pengangkutan, Tan Sri M. Kayveas berkata, usaha itu perlu kerana tindakan penguatkuasaan seperti mengenakan saman dan kompaun masih belum mampu mengubah sikap pemandu.

Menurut beliau, adalah sukar bagi pihak berkuasa mengawal kemalangan kenderaan berat seperti bas dan lori kerana ia melibatkan pelbagai sebab seperti cara pemanduan, pengambilan bahan terlarang dan kurang rehat.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik cadangan JPJ untuk memasang alat menghadkan kelajuan kenderaan berat bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

“Walaupun kita keluarkan saman, kita ada undang-undang, orang tidak ikut undang-undang, kita ada saman. Berapa banyak saman kita boleh bagipun, dia bayar, kalau dia elak bayar saman ini, dia pergi mahkamah dan macam-macam,” katanya.

Beliau yang juga Presiden MyPPP ditemui selepas Jamuan Hari Raya Aidilfitri MyPPP Bahagian Ipoh Timor di sini pada Jumaat. Hadir sama Pengerusi MyPPP Perak, Ong Chee Keng.

Terdahulu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron berkata, semua bas ekspress di negara ini akan dilengkapi alat pengehad kelajuan menjelang tahun 2020 sebagai usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Menurut Nadzri, pihaknya telah meminta semua bas yang baru dikeluarkan dan didaftarkan agar dipasang alat tersebut mulai januari tahun depan.

Kayveas berkata, jika kerajaan mahu menaikkan saman, sudah pasti ada pihak yang tidak suka dan menyatakan ia banyak sangat dan sebagainya.

Di majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada 130 warga miskin seperti ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dari kawasan Ipoh Timor.


5 views0 comments
bottom of page