TAIPING - Seramai lebih kurang 30 individu mewakili badan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Merah berarak sejauh 200 meter untuk menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming di pejabatnya, di sini, semalam.
Presiden Gerakan Merah Malaysia, Mohd Ali Baharom berkata, pihaknya mendesak Kor Ming supaya meletakkan jawatannya kerana sehingga kini masih tidak membuat permohonan maaf atas tindakannya yang mempersendakan amalan pemberian duit raya sebagai dedak ayam dan ucapan hari raya yang berunsur provokasi di laman sosial.
Menurutnya, pihaknya amat kecewa dengan sikap ahli parlimen itu kerana sehingga kini masih tidak membuat sebarang permohonan maaf walaupun laporan polis terhadapnya telah dibuat di seluruh negara.
“Beliau perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuatnya,” katanya, di sini, semalam.
Perarakan yang bermula pada jam 2.30 petang itu berakhir sekitar jam 2.50 petang selepas memorandum tersebut diserahkan kepada wakil pejabat ahli parlimen itu.
Terdahulu, kumpulan terbabit berarak sambil memegang sepanduk yang rata-rata tidak puas hati dengan tindakan Kor Ming sebelum ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, pihaknya sudah sedia maklum berhubung perhimpunan yang akan diadakan itu.
“Hari ini seramai 80 anggota di tempatkan di sekitar kawasan ini bagi memastikan tidak wujud sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Bagaimanapun, semuanya berjalan lancar dan kita dapat mengawal keadaan dengan baik,” katanya.
Jelasnya, pihaknya berharap perkara seumpama itu tidak akan berlaku lagi kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku.
“Apa pun terima kasih juga kepada masyarakat yang turut memberikan kerjasama sehingga semuanya berjalan lancar,” katanya.