IPOH: Kerajaan negeri bersedia untuk mempertimbangkan pengecualian bagi kos kebenaran merancang dan pelbagai kos sampingan kepada pemaju projek rumah kos rendah di sekitar Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, ini adalah salah satu langkah untuk memberi peluang masyarakat memiliki rumah kos rendah, selari dengan hasrat kerajaan negeri.
Menurut beliau, pengecualian kos kebenaran merancang dan insentif itu dijangka dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Perak (LPHNP) yang mula beroperasi Oktober depan.
"Pengecualian itu meliputi pelbagai kos sampingan, termasuk caj sumbangan, bayaran premium dan kos kebenaran merancang dan ini dikira sebagai insentif daripada kerajaan negeri untuk menggalakkan pembinaan rumah kos rendah oleh pemaju secara lebih holistik.
"Komposisi wajib untuk membangunkan rumah kos rendah yang berharga RM70,000 ke bawah dalam mana-mana projek perumahan di Perak adalah sebanyak 10 peratus, namun sekiranya mereka memperuntukkan kesemuanya menjadi rumah kos rendah, contohnya sebanyak 20 ekar atau 10 ekar, kerajaan negeri bersedia berbincang untuk memberikan insentif melalui pengecualian kos-kos terbabit," katanya.
Beliau berkata demikin dalam sidang media selepas merasmikan Expo Hartanah MAPEX 2016 yang menghimpunkan 50 gerai pemaju dan kontraktor perumahan di Ipoh Parade di sini, pada Jumaat.
Rusnah berkata, kerajaan negeri juga akan merujuk dan menggunapakai sebarang pengurusan hartanah dan perumahan yang boleh dijadikan contoh daripada negeri lain untuk menambahbaik sistem perumahan di Perak.
Tambah beliau, pihaknya juga akan memberikan kelonggaran dan keutamaan kepada pemaju tempatan dengan mengenakan kos kebenaran merancang yang lebih rendah berbanding dengan pemaju luar.
"Kerajaan negeri melalui LPHNP bersedia untuk berbincang bersama pemaju dan kontraktor tempatan, dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa serta Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) untuk mengenalpasti pendekatan terbaik bagi membina lebih banyak rumah kos rendah dan mampu milik di negeri ini," katanya lagi.
Rusnah berkata, sehingga hari ini permohonan untuk rumah kos rendah yang dikemukakan kepada Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri ( SUK) dalam tempoh enam tahun lepas adalah sebanyak 12,131 dan usaha sentiasa dilakukan untuk membantu pemilikan rumah oleh penduduk di negeri ini.
Jelasnya, semua usaha itu akan diselaraskan oleh Rehda untuk memperkemas pendekatan terbaik melalui LPHNP bagi memastikan pemilikan rumah dapat diperolehi oleh semua golongan.