top of page
muinsapidin

Penswastaan Sisa Pepejal - Perak Mahu Yang Terbaik

Perak hanya akan menandatangani perjanjian penswastaan sisa pepejal bersama Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PSPPA) sekiranya ianya betul-betul memberi manfaat kepada rakyat dan negeri.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkara tersebut perlu diperhalusi dan diberi pertimbangan serius kerana perjanjian itu bakal memberi impak positif serta negatif dalam jangka masa panjang kepada rakyat.

“Perak masih lagi belum membuat keputusan kerana kerajaan negeri berpandangan perlu ada penelitian mendalam. Perak merupakan negeri yang besar serta banyak tempat-tempat akan terlibat dengan penswastaan ini. Jadi kita tak nak buat keputusan yang salah.

“Selain ianya melibatkan kos yang besar, kita betul-betul mahu yang terbaik untuk negeri ini, bukan hanya untuk kerajaan negeri tetapi untuk rakyat Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Jamuan Hari Raya Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Perak sempena Majlis Perasmian Kompleks Perdagangan DWJ dan DWJ Residences@Meru di Ipoh pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dr Zambry memberitahu beliau telah pun mengadakan perbincangan bersama Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar.

“Dalam lawatannya baru-baru ini saya dah bincangkan beberapa perkara dan kita mengharapkan pihak kementerian akan datang semula untuk mengadakan perbincangan selanjutnya.

“(Noh) memahami mesej kerajaan negeri, dan beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pegawai kanan Kementerian dan seterusnya perbincangan di peringkat negeri ini bersama pegawai serta exco bertanggungjawab,” jelasnya.

Tambah beliau, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim telah ditugaskan menjadi koordinator bagi menyelesaikan perkara tersebut.


16 views0 comments
bottom of page