PERAK meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Liga Super 2016 apabila menewaskan Pahang 2-1, di Stadium Darulmakmur, malam tadi.
Beraksi di gelanggang lawan jelas tidak menjejaskan persembahan mantap kesebelasan skuad The Bos Gaurus itu bagi membawa pulang tiga mata berharga hasil dua jaringan penyerang import, Xhevahir Sukaj.
Turun dengan misi kemenangan, menyaksikan Perak bermula garang dengan mengasak ke gawang Pahang sebaik wisel dibunyikan.
Hasilnya, import Albania, Xhevahir Sukaj berjaya memanfaatkan peluang dengan meledak jaringan pembukaan pelawat pada minit ke-20.
Tersentak dengan jaringan berkenaan, kesebelasan Tok Gajah dilihat mula bangkit mengatur asakan ke gawang Perak dan pemain import, Jailton de Campos berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-32.
Terikat 1-1 menyaksikan kedua-dua kian bersemangat untuk menambah jaringan, namun tiada jaringan tambahan dihasilkan hingga tamat babak pertama.
Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan menggandakan asakan, namun gagal melakukan percubaan tepat selain berjaya dikekang benteng pertahanan lawan masing-masing
Namun minit ke-74, menyaksikan Sukaj sekali lagi berjaya menewaskan penjaga gol Pahang bagi meledak jaringan kedua pelawat.
Biarpun kesebelasan Pahang dilihat cuba bangkit bagi menyamakan kedudukan pada lewat perlawanan, namun benteng Perak diterajui bek kental, Thiago Junio de Aquino terus kental bertahan hingga ke wisel penamat.
Kemenangan berkenaan sekali gus menyaksikan Perak melonjak pada kedudukan keenam Liga Super dengan mengumpul 17 mata hasil empat kemenangan, seri lima kali dan tewas enam kali setakat ini.