top of page
muinsapidin

Jual Nama Ustaz Kazim Kutip Derma

IPOH - Pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sindiket sesebuah kumpulan yang menjalankan kutipan derma dan jualan produk dari rumah ke rumah kononnya untuk mengisi tabung Pusat Pendidikan Al Barakah.

Beliau yang lebih dikenali Ustaz Kazim berkata, beliau menerima panggilan daripada beberapa individu memaklumkan berlakunya kutipan derma dan jualan produk di sekitar kawasan Batu Gajah dan Kampung Melayu, Ipoh.

“Ini tidak benar, setakat ini kita tidak pernah lagi mengadakan jualan dari rumah ke rumah, apatah lagi kutipan derma semata-mata untuk isi tabung Al Barakah, kita belum terdesak lagi untuk berbuat demikian.

“Saya sudah pesan dan ingatkan semua kakitangan juga jawatankuasa (Pusat Pendidikan) Al Barakah, soal dana biar saya seorang saja yang cari, jadi tidak mungkin kita buat kutipan seperti itu,” katanya.

Antara produk yang dikesan dijual menggunakan nama Ustaz Kazim adalah al-Quran dan kitab di sekolah-sekolah dan minyak wangi yang dijual dari rumah ke rumah.

Ustaz Kazim berkata, harga yang diletakkan untuk setiap produk itu juga bukan murah dan ada yang mencecah harga RM150 hingga RM200.

Menurutnya, bagaimanapun setakat ini tiada bukti lengkap yang boleh dibawa untuk tujuan laporan polis.

“Kita tahu pun hasil pemberitahuan orang, tiada bukti yang konkrit untuk kita bawa bagi ke siasatan. Bila difikirkan tu ada lucunya juga kes-kes salah guna nama ni kerana ada sekali peristiwa ada orang datang jual kitab di sekolah tempat isteri saya mengajar, bila ditanya dia wakil siapa, dia cakap dari Al Barakah dan bila isteri saya perkenalkan diri, orang tu terus lari lintang-pukang,” katanya.

Ustaz Kazim berkata, setakat ini, semua produk di bawah namanya iaitu buku tulisannya yang turut diterbitkan Kumpulan Media Karangkraf, kismis, kopiah dan air di bawah Al Barakah Sales and Marketing hanya boleh didapati di Pusat Pendidikan Al Barakah dan lokasi tempatnya berceramah.

"Selain daripada itu, kita tak buat jualan di rumah, sekolah atau sebagainya, jika ada kita minta orang ramai dapatkan maklumat atau pengesahan daripada Pusat Pendidikan Al Barakah sendiri,” katanya.

Beliau berkata, isu salah guna nama ini juga berlaku dalam kes lain seperti tawaran pakej umrah, perniagaan MLM juga membabitkan aktiviti ceramah yang kononnya ada kaitan dengan dirinya.

“Paling kerap berlaku mereka letakkan nama saya dalam kain rentang melibatkan ekspo untuk tarik kedatangan orang ramai, katakan saya ada rakaman ceramah, tapi bila sampai masa, saya tidak ada sedangkan saya sendiri pun tidak tahu menahu,” katanya.

Ustaz Kazim berkata, orang ramai boleh mendapatkan perkembangan diri dan aktivitinya di laman Facebook Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias.

“Saya hanya ada satu akaun Facebook itu, Instagram atau Twitter tidak ada, selain daripada itu adalah akaun palsu yang bukan di bawah kendalian saya,” katanya.


4 views0 comments
bottom of page